Selasa, 26 Februari 2019 | 6:15pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - NSTP/Asyraf Hamzah
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - NSTP/Asyraf Hamzah

SPR terima perakuan batal keputusan DUN Rantau

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima Perakuan Mahkamah daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 36A(3) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan tidak sah dan terbatal.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata sehubungan itu, selaras Perkara LVI(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, SPR akan mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan iaitu 26 Februari 2019.

“Pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN itu dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan hari ini.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya itu. Tarikh mesyuarat akan dimaklumkan oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Berita Harian X