Selasa, 26 Februari 2019 | 9:05pm

KPM nafi jadi punca 12,000 pengawal sekolah ditamatkan kontrak

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan pihaknya menamatkan kontrak syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan, sekali gus menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah terkesan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, KPM menegaskan kontrak syarikat terbabit sudah tamat tempoh pada 31 Disember lalu dan sudah ditender semula mengikut keperluan semasa norma baharu KPM.

Katanya, KPM tidak terbabit dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pengawal keselamatan memandangkan perkhidmatan kawalan keselamatan adalah perolehan perkhidmatan dengan syarikat swasta.

Menurut kenyataan itu, malah ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan.

“Dakwaan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) itu tidak benar. Kontrak yang ditender semula sudah disertai oleh syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa seperti bilangan syif dan pekerja.

“Antara syarikat yang pernah mendapat kontrak daripada KPM sebelum ini juga menyertai proses tender. Segala proses tender dijalankan secara adil, telus dan penuh berintegriti,” katanya.

KPM juga menyifatkan dakwaan terbabit tidak adil kerana hanya menyalahkan pihaknya semata-mata.

“Memandangkan penyertaan dalam tender adalah mengikut harga yang ditawarkan, maka adalah tidak adil untuk menganggap KPM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengawal yang diambil untuk bekerja oleh syarikat yang menerima tawaran kontrak daripada KPM.

“KPM sekali lagi ingin menegaskan penawaran kontrak baharu bagi perkhidmatan berkaitan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu syarikat yang dilantik dan KPM.

“Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab, KPM tidak pernah menganiaya mana-mana pihak dalam perkara ini, malah KPM juga tidak pernah menamatkan 12,000 orang pengawal keselamatan sebagaimana didakwa oleh pihak PIKM,” katanya yang turut menasihatkan syarikat keselamatan memastikan kebajikan pekerja.

Laporan sebelum ini menyebut KPM digesa untuk mengkaji semula terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari.

Presiden PIKM, Datuk Seri Mustapa Ali dilaporkan mendakwa, hal itu kerana terma kontrak itu menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh KPM.

Berita Harian X