Selasa, 26 Februari 2019 | 9:28pm
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammad Bakhtiar Wan Chik (tengah) bersama Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli menghadiri Majlis Pelancaran Kalender Seni Budaya JKKN, hari ini. - NSTP/Aziah Azmee

Program VMY2020 diumum April ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan perincian program Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020), April ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammad Bakhtiar Wan Chik, berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan, namun menganggarkan nilai bagi pengiklanan dan promosi mencecah RM200 juta.

“Pada April ini kita akan bentangkan pelan bagi program VMY2020 dengan nilai A&P (pengiklanan dan promosi) RM200 juta.

“Kementerian melakukan pelbagai cara bagi memudahkan tarikan pelancong tetapi pihak lain tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan kami, sebaliknya perlu turut membantu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kalendar Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mulai 15 Mac ini, Mohammad Bakhtiar berkata dari sudut sektor pelancongan pihaknya mengalukan inisiatif berkenaan bagi tujuan tarikan pelancong.

“Perkara ini bukan di bawah MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), tetapi saya yakin mereka (Kementerian Wilayah Persekutuan) sudah menjalankan kajian terhadap perkara ini dan melihat ia mempunyai manfaat tertentu.

“Saya berpendapat untuk permulaan, ia mungkin boleh dijalankan secara berperingkat.

“Saya juga yakin penutupan jalan TAR mampu menggalakkan pelbagai aktiviti pelancongan,” katanya.

Selain itu, pada majlis pelancaran terbabit, Mohammad Bakhtiar turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Media Cetak dan Digital JKKN 2018 kepada pihak media.

Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) merangkul tiga anugerah iaitu Harian Metro memenangi artikel terbaik; Harian Metro Online memenangi Anugerah Berita Online terbaik, manakala Media Prima memenangi Anugerah Khas Media bagi program bual bicara Borak Kopitiam.

Berita Harian X