Selasa, 26 Februari 2019 | 11:58pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy (empat, kiri) menyempurnakan majlis perasmian Program Sambutan Tahun Baru Cina bersempena sambutan Minggu Keharmonian di Antara Penganut Agama Sedunia peringkat Negeri Melaka 2019 di Kampung Baru Paya Mengkuang, Masjid Tanah hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy (empat, kiri) menyempurnakan majlis perasmian Program Sambutan Tahun Baru Cina bersempena sambutan Minggu Keharmonian di Antara Penganut Agama Sedunia peringkat Negeri Melaka 2019 di Kampung Baru Paya Mengkuang, Masjid Tanah hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan semak semula pemberian geran KRT

ALOR GAJAH: Kerajaan perlu menyemak semula pemberian geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan mengambil kira aspek peruntukan kewangan sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial) P Waytha Moorthy, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan faktor kewangan di kementerian terlebih dahulu sebelum menyemak semula kadar geran tahunan yang akan diberikan kepada organisasi itu.

“Memandangkan terdapat kekangan kewangan, kementerian terpaksa mengkaji semula pemberian (geran).

“Bukan sahaja KRT, malah peruntukan di semua kementerian turut dikurangkan disebabkan kekangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina sempena Minggu Keharmonian Di Antara Penganut Agama Sedunia 2019 peringkat negeri, di Dewan Paya Mengkuang, Masjid Tanah, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Abdul Karim Abu Seman dan Pengarah JPNIN Melaka, Habibah Jaafar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik sebelum ini dilaporkan berkata, JPNIN sedang mengkaji untuk menaikkan kadar geran tahunan KRT kepada RM10,000 berbanding RM6,000 sebelum ini.

Sementara itu, Waytha Moorthy menyarankan KRT untuk terus bergiat aktif sebagai pemangkin perpaduan dan kesejahteraan masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan yang digariskan menerusi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu mendukung keutuhan institusi keluarga dan kejiranan.

“Program yang boleh dilaksana antaranya kebajikan, sukan, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, dan ekonomi secara sukarela tanpa bayaran atau imbuhan.

“Contohnya, di Melaka terdapat sebanyak 243 KRT dan secara purata sebanyak 2,000 aktiviti masyarakat dijalankan di peringkat akar umbi,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X