Rabu, 27 Februari 2019 | 7:39pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anuar Ibrahim kecam perbuatan hina Islam itu bertentangan dengan prinsip hak dan kebebasan dalam media sosial kerana boleh menimbulkan ‘peperangan’ yang akan memporak peranda rakyat serta negara. - NSTP/Rosela Ismail

Hina Islam, nabi tindakan 'bodoh', jahat - Anwar

KUALA LUMPUR: PKR mendesak pihak keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia untuk bertegas dan tidak bertoleransi terhadap mana-mana pihak serta individu yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbuatan itu bertentangan dengan prinsip hak dan kebebasan dalam media sosial kerana boleh menimbulkan ‘peperangan’ yang akan memporak peranda rakyat serta negara.

“Tidak boleh. Pihak keselamatan polis khususnya kena tegas. Kalau kita nampak ia boleh liberal boleh bebas sebegitu, boleh perang, habis rakyat.

“Kena bezakan di antara hak dan kebebasan menyuarakan pandangan atau memberi teguran, kritik atau persoal aspek kefahaman agama. Tapi untuk hina dan kecam akidah serta keyakinan orang Islam, hina Rasul, itu kerja bodoh, jahat yang tidak menguntungkan negara.

“Kalau hendak tunjuk ini sifat bebas dan liberal, ini maknanya fahaman dia sesat.

“Saya minta pihak keselamatan, polis ambil langkah dan tindakan tegas. Tidak perlu tunjuk toleransi terhadap sikap buruk ini sebab ia akan mengundang kesan sangat tidak baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di sini, hari ini.

Minggu lalu media melaporkan, seorang lelaki yang menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW menerusi media sosial itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tiga hari ditahan.

Lelaki itu sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam selepas memuat naik karikatur menghina perkahwinan Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah.

Lelaki berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah.

Mengulas lanjut, Anwar menasihatkan orang ramai supaya sedar pemikiran pihak yang menghina dan mengecam Islam serta Nabi Muhammad SAW tidak mewakili semua orang bukan Islam.

Katanya, majoriti orang bukan Islam turut menolak pemikiran dan tindakan menghina serta mengecam agama Islam.

“Saya jumpa banyak orang bukan Islam, kawan bukan Islam dan mereka tidak setuju tindakan serta perbuatan itu. Saya hendak ingatkan jangan anggap ini pandangan orang bukan Islam. Tidak betul.

“Majoriti orang bukan Islam juga tidak suka agama dia dikecam, keyakinan dan kepercayaan mereka dihina,” katanya.

Berita Harian X