Jumaat, 1 March 2019 | 2:59pm

Syor wajib suntikan imunisasi sebelum masuk sekolah dikaji - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang sudah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenar memasuki sesi persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata cadangan itu akan dikaji secara terperinci.

“Memang itu salah satu apa yang kita syorkan supaya menjadi pencegahan terhadap penyakit,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan Petronas di sini, hari ini.

Isnin lalu, akhbar melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan I-MEDIK Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak.

Ini berikutan kes seorang kanak-kanak dua tahun di Johor yang disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria meninggal dunia minggu lalu akibat penyakit itu.

Lima lagi kanak-kanak yang dilaporkan pernah berada dan berhubung secara terus dengan mangsa juga disahkan positif penyakit difteria.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan bahawa vaksin imunisasi adalah selamat dan ia tidak harus diragui kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengeluarkan fatwa mengenai status halalnya.

Katanya, pencapaian program imunisasi pada 2017 ialah 88 peratus daripada 95 peratus yang disasarkan.

“Kita galakkan ibu bapa untuk benarkan suntikan imunisasi kepada anak mereka. Jangan dengarlah (dakwaan kumpulan anti-vaksin).

“Memang mungkin ada satu dua (kes yang mempunyai reaksi negatif). Itu malang, tetapi yang lain tu, vaksin adalah selamat,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan pelancaran Yayasan Petronas, Dr Wan Azizah menggesa usaha sama lebih erat antara sektor swasta dan kerajaan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa lebih banyak pembangunan sosial yang bermanfaat.

“Pembangunan sosial yang inklusif akan menjadi lebih berkesan jika semua pihak menjurus ke arah kepentingan bersama dengan menggarapkan sumbangan terbaik setiap pihak,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan RM83 juta Petronas bagi menggerakkan Imbak Canyon Studies Centre di Sabah yang akan berfungsi sebagai bank penyelidikan melindungi kepelbagaian alam dan pemuliharaan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh, berkata penubuhan yayasan itu bertujuan menyelaraskan semua usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu, tertumpu kepada tiga bidang iaitu pendidikan, kemakmuran masyarakat dan alam sekitar.

kata Ahmad Nizam, setakat ini Petronas sudah melaksanakan lebih 500 program CSR sejak penubuhannya pada 1974.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Yayasan Petronas di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X