Jumaat, 1 March 2019 | 7:58pm
TUN Dr Mahathir di majlis pelancaran Home Ownership Campaign (HOC) Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). - Foto Zunnur Al Shafiq.

Raja Petra penipu - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penulis blog Raja Petra Kamaruddin sebagai penipu dan tidak boleh dipercayai.

Justeru, Perdana Menteri mempersoalkan mengapa masih ramai percaya dengan penipuan penulis itu.

“Raja Petra adalah penipu dan mengapa anda percaya dengan apa yang beliau katakan kerana semuanya fitnah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan Raja Petra berhubung siasatan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan beberapa pemimpin kanan DAP.

Raja Petra mendakwa pendedahan itu diperoleh daripada kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pembinaan terowong berkenaan.

SPRM pula dilaporkan sudah membuat laporan polis berhubung pendedahan Raja Petra itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull, dilaporkan sebagai berkata laporan polis itu dibuat semalam.

Berita Harian X