Sabtu, 2 March 2019 | 3:39pm
MENTERI Besar, Amirudin Shari melawat tapak pembinaan pada majlis pelancaran Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi di Seksyen 6, Selangor Cyber Valley (SCV), Cyberjaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

PKNS lancar rumah mampu milik di Cyberjaya

CYBERJAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melancarkan projek rumah mampu milik, Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi di Seksyen 6, Selangor Cyber Valley (SCV) di sini.

Projek pembinaan 864 unit rumah termasuk empat unit untuk orang kurang upaya (OKU) di kawasan seluas 5.764 hektar itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari.

Rumah mampu milik berkeluasan 1,000 kaki persegi yang dijenamakan sebagai Rumah Selangorku Idaman PKNS, dijual pada harga RM232,000 seunit. Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2021.

Amiruddin berkata, rumah berkenaan yang bercirikan gabungan seni bina unik dan moden, mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air serta dua parkir kenderaan.

“Hari ini, PKNS sekali lagi membuktikan komitmen untuk membantu rakyat Selangor memiliki kediaman yang selesa dan mampu dimiliki.

“Ini bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat, yang mana dasar ini adalah cerminan kepada sebuah kerajaan yang berusaha ke arah mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek, berkata dua blok pangsapuri itu, masing-masing berketinggian 14 tingkat dan 15 tingkat.

“Pembinaannya dijangka siap pada Disember tahun depan, manakala jangkaan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) akan diperoleh pada pertengahan 2021,” katanya.

Beliau berkata, projek itu terletak di pembangunan bandar pintar yang berdekatan lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), ELITE dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

“Jarak perjalanan ke Putrajaya adalah 17 kilometer (km) dan 29km ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain berdekatan dengan pelbagai kemudahan seperti pusat beli belah dan institusi pendidikan.

Projek berkenaan akan turut dilengkapi ruang pejabat pengurusan, surau, dewan serbaguna, tiga unit ruang kedai, bilik pengurusan jenazah, taman permainan, ruang tadika, lif dan empat tingkat tempat letak kereta bertingkat.

Pendaftaran Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi dibuka bermula hari ini. Orang ramai yang berminat boleh layari laman sesawang LPHS di http://ehartanah.lphs.gov.my/lphs/ untuk memohon Rumah Selangorku ini secara atas talian.

Berita Harian X