Isnin, 4 March 2019 | 3:02pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo melawat ruang pameran pada majlis perasmian Pameran dan Persidangan Infra Cyberjaya 2019 di Cyberjaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Cyberjaya, Putrajaya lokasi ujian teknologi 5G

CYBERJAYA: Cyberjaya dan Putrajaya akan menjadi dua lokasi bandar pintar pertama di negara ini bagi percubaan teknologi generasi kelima (5G), bermula April depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata ujian teknologi 5G itu akan dilaksanakan selama enam bulan.

“Ini penting, seluruh dunia akan melihat kepada Malaysia bagaimana kita boleh mewujudkan dua tempat di mana ia diusahakan oleh teknologi 5G.

“Saya berharap kita dapat melihat hasilnya dan kita akan menentukan keputusan lanjut berhubung penggunaan teknologi 5G selepas itu. Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan ujian ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Infra Cyberjaya 2019, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pandangan bahawa Malaysia perlu berhati-hati dengan teknologi 5G dipelopori China yang dikhuatiri menjadi instrumen aktiviti pengintipan siber pula, Gobind berkata, soal keselamatan tetap menjadi keutamaan negara.

“Kita tidak boleh mengetepikan faktor bahawa teknologi dunia bergerak ke arah 5G. Ini diiktiraf banyak negara kerana 5G menawarkan lebih perkhidmatan, jadi ia menjadi teknologi yang perlu kita terima, namun pada masa sama tetap perlu berhati-hati.

“Oleh itu, isu keselamatan menjadi keutamaan kita, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam proses membuat kajian, namun laporannya belum lagi diserahkan kepada saya.

“Kerajaan akan melihat soal keselamatan ini secara serius dan pastinya apabila kita ada maklumat menerusi laporan disiapkan oleh agensi berkaitan, kita akan memaklumkan keputusannya,” katanya.

Ditanya sama ada kerjasama akan dijalin dengan syarikat luar atau tempatan bagi penyediaan infrastruktur 5G, beliau berkata, kerajaan terbuka kepada mana-mana pihak yang boleh membantu negara dalam membina ekosistem serta melonjakkan industri.

“Dari segi rangkaian, kita ada banyak penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan yang mampu menyediakan infrastruktur diperlukan.

“Dari segi aplikasi dan teknologi, kita terbuka. Sesiapa yang dapat menyediakan teknologi ini dan membantu dalam membina ekosistem dan membantu industri, kita terbuka kepada itu,” katanya.

Berita Harian X