Khamis, 7 March 2019 | 12:32pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke. - Foto Luqman Hakim Zubir

Lebih 100,000 pengguna langgan My100

SUBANG JAYA: Pas Perjalanan Tanpa Had My100 yang dijual sejak Januari lalu, mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan lebih 100,000 pengguna setakat ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata jumlah itu membuktikan usaha kerajaan dalam menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam semakin mendapat perhatian.

“Sukacita saya ingin maklumkan, inisiatif kerajaan melancarkan pas bulanan My100 dan My50 kepada pengguna harian bagi menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam sudah membuahkan hasil.

“Lebih 100,000 orang sudah melanggan My100 setakat ini dan saya menjangkakan jumlah ini akan meningkat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perkhidmatan Bas Perantara dari Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain serta Pengurus Besar Perkhidmatan Hafeena Sdn Bhd (Hafeen), Lee Hock Tiam.

Dalam sidang media selepas itu, Loke berkata perkhidmatan bas perantara terbabit antara inisiatif yang dilakukan Prasarana dan syarikat swasta, Hafeena melalui jenama basnya, Jetbus dalam menawarkan perkhidmatan dari stesen LRT berkenaan ke KLIA dan KLIA2.

“Saya ingin menegaskan, kerajaan tidak mengamalkan sifat pilih kasih, walaupun Prasarana milik kerajaan dan Jetbus milik swasta, saya sebagai menteri melancarkan dua operasi ini secara serentak.

“Apa yang penting ialah kita mahu melihat supaya ada saingan sihat dan menjurus kepada perkhidmatan yang lebih baik. Pemilihan stesen LRT ini pula kerana ia adalah paling strategik menghubungkan banyak laluan ke KLIA,” katanya.

Katanya, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan pada harga yang berpatutan.

“Pengguna boleh membeli tiket kombo pada harga RM10 sehala bagi yang menggunakan mana-mana perkhidmatan Prasarana sebelum menaiki bas Rapid menuju ke KLIA dan KLIA2 di Stesen LRT Putra Heights.

“Jetbus pula menawarkan harga RM4 sehala dari stesen LRT Putra Heights menuju ke KLIA dan KLIA2. Pengguna juga tidak perlu bimbang kerana jadual kekerapan kedua-dua perkhidmatan itu amat baik,” katanya.

Berita Harian X