Khamis, 7 March 2019 | 3:14pm
Rina (lima dari kiri) pada majlis penutupan Program Interaksi Menteri KLPB bersama MPKK negeri, di Ipoh, hari ini. - NSTP/Effendy Rashid

MPKK digesa cepatkan permohonan geran

IPOH: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menggesa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mempercepatkan permohonan geran MPKK 2019 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi pembangunan setiap kampung.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata kementerian masih belum menerima permohonan geran itu, dan kelewatan terbabit akan menjejaskan pembangunan aktiviti MPKK yang dirancang untuk komuniti kampung.

Beliau berkata, MPKK diberi penerangan mengenai geran itu, selain dibimbing untuk menyediakan kertas permohonan melalui kursus induksi MPKK di empat negeri, iaitu Melaka, Johor, Kedah dan Perak.

“Kita berharap prosedur permohonan geran dapat disegerakan kerana hingga kini, kementerian belum menerima permohonan itu daripada MPKK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Program Interaksi Menteri KLPB bersama MPKK negeri, di sini, hari ini.

Program itu dihadiri kira-kira 1,400 ahli MPKK yang baru dilantik di negeri ini bagi mengikut kursus MPKK 2019 yang dijalankan selama dua hari.

Dalam pada itu, Rina turut menggesa MPKK melengkapkan maklumat dalam Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) dan sistem aplikasi iDesa bagi tujuan perancangan serta pembangunan kampung pada masa depan.

Beliau berkata, pihaknya berharap pangkalan data mengenai maklumat terbabit dapat dikemas kini dari semasa ke semasa dan disegerakan tahun ini bagi memudahkan penyampaian program kerajaan kepada rakyat di luar bandar.

“Kita meminta data itu dilengkapkan kerana aplikasi berkenaan sudah ada. Ada yang sudah melengkapkan data terbabit, namun masih belum mengikut sasaran kita.

“Kita mahu mewujudkan produk kampung supaya pelancong yang mengakses aplikasi, mendapat maklumat lebih terperinci. Kementerian memberikan masa untuk melengkapkannya dalam tahun ini,” katanya.

Seterusnya, Rina berkata, kementerian akan melancarkan program Desa Harapan di Kedah pada bulan depan selepas melakukannya di Kampung Kinjang, Chenderiang, dekat sini, 18 Disember lalu.

“Program itu akan dilancarkan di setiap negeri mengikut kesesuaian masa dengan pembabitan pihak swasta,” katanya.

Program Desa Harapan dijangka membuka ruang kepada syarikat korporat untuk membantu kementerian merancang dan meneliti potensi setiap kampung sebelum cadangan pembangunan ekonomi dirangka serta dilaksanakan.

Berita Harian X