Khamis, 7 March 2019 | 4:19pm
Fuziah (tengah) mengadakan sidang media selepas majlis perasmian penutup Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Fuziah (tengah) mengadakan sidang media selepas majlis perasmian penutup Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

JAKIM bincang dengan KKM, KPM kajian wajibkan suntikan vaksin

MELAKA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan perbincangan dengan dua kementerian berhubung kajian terhadap kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang sudah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenarkan memasuki sesi persekolahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata JAKIM akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meneliti cadangan itu bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum sebarang dasar ditetapkan.

“Apabila seseorang tidak mengambil vaksin, dia boleh memudaratkan orang lain seperti pelajar yang meninggal dunia disebabkan difteria berjangkit kepada orang lain, baru-baru ini.

“Dari sudut maqasid syariah, itu membahayakan nyawa orang lain. Justeru, kita perlu membuat dasar mewajibkannya (vaksin) tetapi memerlukan fatwa dan kajian yang sedang dibuat JAKIM. Kita akan membantu KKM dan KPM,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Town Hall Maqasid Syariah peringkat negeri yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Melaka adalah negeri pertama melaksanakan program itu sebagai usaha menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan dengan membincangkan pelbagai perkara demi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negeri serta negara.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membincangkan pelbagai tuntutan syariat Islam.

“Ini bukan soal ibadat sahaja tetapi juga akhlak, pentadbiran yang baik dan pemikiran dengan mengambil kira tujuan yang harus dicapai bersama,” katanya.

Berita Harian X