Jumaat, 8 March 2019 | 12:26am
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua dari kiri) beramah mesra bersama pelajar IPGK Tawau dan Pelajar Politeknik Semporna pada Majlis Bersama Pelajar IPGK Tawau dan Politeknik Semporna di Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Fungsi IPG tak akan ditukar

TAWAU: Kementerian Pendidikan akan mengekalkan fungsi Institut Pendidikan Guru (IPG) yang terbabit dengan tukar fungsi yang dicadang dijadikan pusat latihan vokasional dan politeknik.

Menteri, Dr Maszlee Malik, berkata ia termasuk IPG Kampus Tawau (IPGK Tawau) yang ditukar fungsi kepada Politeknik seperti diumumkan pada tahun 2017 yang menimbulkan polemik dan dibincangkan segenap lapisan masyarakat sehingga ke Parlimen.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak sebelum dan selepas pertukaran kerajaan, selain keperluan masyarakat setempat dan komuniti pendidikan.

“IPGK Tawau mempunyai sejarah panjang bermula pada tahun 1974 dan ramai guru dihasilkan daripada pelbagai program seperti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP), Program Diploma Pendidikan Malaysia (PDPM) dan Program Diploma Pendidikan Pasca Siwazah (PDPP).

“Ribuan guru dalam perkhidmatan juga telah dilatih melalui siri kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP),” katanya pada Majlis Bersama Pelajar IPGK Tawau dan Politeknik Semporna, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Maszlee berkata, Politeknik Tawau sudah mula beroperasi secara wujud bersama (co-exist) dengan IPGK Tawau sejak 2018, iaitu perkongsian pintar yang wajar dijadikan contoh.

Katanya, kewujudan bersama itu akan diteruskan di mana kedua-dua institusi terus beroperasi melaksanakan fungsi masing-masing walaupun fokus dan sasarannya berbeza.

“Kedua-dua institusi ini adalah di bawah naungan Kementerian Pendidikan yang sama-sama memenuhi aspirasi pendidikan negara.

“Pendekatan co-exist dua institusi ini adalah contoh mengoptimumkan penggunaan sumber bagi melaksanakan agenda pendidikan negara,” katanya.

Beliau turut mengumumkan 5 Oktober sebagai tarikh atau hari Warga Akademia Malaysia bagi meraikan golongan pensyarah.

Berita Harian X