Jumaat, 8 March 2019 | 12:16pm
DATUK Nik Azman Nik Abdul Majid

Nik Azman dilantik Ketua Audit Negara baharu

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun bermula 23 Februari 2019 hingga 22 Februari 2021.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar dalam kenyataan hari ini, berkata Nik Azman menggantikan Tan Sri Madinah Mohamad yang menamatkan tempoh perkhidmatan pada 22 Februari lalu.

“Berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Nik Azman sebagi Ketua Audit Negara.

“Nik Azman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi Gunaan dari Universiti Malaya dan Sarjana Ekonomi dari University of Nebraska, Amerika Syarikat mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan,” katanya.

Tambah Ismail, Nik Azman sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebagai Ketua Setiausaha dari September 2018 hingga Oktober 2018 sebelum bersara.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, selain berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri.

“Kerajaan juga merakamkan setinggi perhargaan dan terima kasih kepada Madinah atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Audit Negara, khususnya dalam usaha mentransformasi dan menstruktur sistem pengauditan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan,” katanya.

Berita Harian X