Jumaat, 8 March 2019 | 8:51pm
KETUA Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam bersalaman dengan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Datuk Paddy Abd Halim pada Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Kastam di Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

Laksana SST dalam tempoh singkat jadi kenangan manis

PUTRAJAYA: Perubahan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berjaya dilaksanakan dalam masa singkat menjadi antara kenangan manis buat Datuk Seri T Subromaniam.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu bakal menamatkan tugasnya dengan bersara wajib esok selepas 35 tahun menaburkan khidmat bakti bersama JKDM.

Beliau berkata, pencapaian baik yang dicapai itu sudah tentu daripada kesungguhan pegawai JKDM dan Kementerian Kewangan selain sokongan daripada Menteri Kewangan.

“Pelaksanaan SST terpaksa dibuat dalam masa singkat lebih kurang dalam tempoh tiga bulan, namun ia menampakkan kejayaan kerana komitmen pegawai kastam, sokongan Menteri Kewangan dan juga pegawai Kementerian Kewangan.

“Itulah kenangan manis saya kerana berjaya melaksanakan SST dalam waktu begitu singkat selain memastikan perjalanan cukai ini dijayakan tanpa masalah besar,” katanya pada sidang media sempena Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Kastam di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata, pelaksanaan SST berjalan dengan baik dan kutipan disasarkan pada tahun ini ialah sebanyak RM22 bilion.

“Bagaimanapun, kami amat yakin pada tahun ini mampu kutip lebih daripada RM22 bilion sekali gus dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Itu baru SST, belum lagi duti import, duti eksais yang juga di bawah tanggungjawab kami untuk disalurkan semula kepada pendapatan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Datuk Paddy Abd Halim akan memangku jawatan Ketua Pengarah Kastam sehingga jawatan berkenaan diisi.

Mengenai perancangan selepas ini, Subromaniam menyatakan beliau mahu berehat.

“Tunggulah, saya nak berehat dahulu. Itu saja,” katanya.

Berita Harian X