Jumaat, 8 March 2019 | 8:52pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Kerajaan setuju pinda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan

KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Ia akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kerja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengenai hak sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, ketika mengumumkan perkara itu berkata cadangan pindaan itu dipersetujui Kabinet pada Rabu lalu.

“Ini langkah besar untuk menjadikan MA63 sebagai realiti. Kita mula dengan pindaan dalam Perkara 1(2),” katanya selepas merasmikan forum Pemulihan Keadilan - Alternatif ke Penjara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang; Presiden Majlis Pemulihan Keadilan Sabah (CRJS), Dr KH Tan dan Timbalan Presiiden CRJS, Datuk John Sikayun.

Vui Keong juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata, pindaan itu memerlukan dua pertiga suara majoriti di Dewan Rakyat yang mana Pakatan Harapan (PH) kini mempunyai 135 Ahli Parlimen.

“Kita memerlukan 148 daripada 222 Ahli Parlimen. Saya percaya Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak akan menyokong pindaan ini,” katanya.

Difahamkan, cadangan untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan itu antara lain bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak seperti sebelum pindaan dibuat pada 1976.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada 16 September tahun lalu, berkata kerajaan menerusi slogan ‘Malaysia Baharu’ akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau mengambil maklum penukaran status Sabah dan Sarawak, daripada rakan sekutu kepada negeri dalam Malaysia sebelum ini dan pengembalian status itu sebahagian proses akan dilaksanakan selepas kajian MA63 disiapkan.

Beliau dilaporkan berkata, pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA63 memberi negara asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Terdahulu dalam ucapannya, Liew berkata, pada masa ini seramai 66,222 banduan ditempatkan di penjara seluruh negara, 56 peratus daripadanya atas kesalahan dadah.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 1,281 menerima hukuman mati, iaitu 932 banduan adalah atas kesalahan berkaitan dadah.

Berita Harian X