Sabtu, 9 March 2019 | 12:03pm

Eksklusif: Syarikat raih untung RM3 juta

KUALA LUMPUR: Terpengaruh promosi pembelian kereta tanpa deposit dan bayaran bulanan, menyebabkan lebih 300 pembeli kereta menjadi mangsa sebuah syarikat yang memanipulasi skim sewa beli hingga masing-masing kerugian sekurang-kurangnya 10 peratus daripada nilai pinjaman dibuat mereka.

Helah terbabit, membolehkan syarikat yang beroperasi dekat Subang itu meraih keuntungan mudah, dipercayai mencecah RM3 juta sejak dua tahun lalu tetapi pembeli pula terperangkap bayaran balik yang tinggi, manakala kereta diterima daripada unit asas.

Selain itu, ansuran percuma dijanjikan syarikat terbabit juga tidak ditunaikan sepenuhnya, apabila mangsa dikenakan pelbagai syarat tambahan yang menyukarkan ia dipenuhi, akhirnya terpaksa menanggung bayaran balik yang tinggi setiap bulan.

Mereka hanya menyedari program disertai itu mula bermasalah apabila masing-masing dihubungi bank memaklumkan ansuran bulanan kenderaan mengalami tunggakan dan kereta itu boleh disita.

Antara syarat dikenakan kepada pembeli adalah menampal pelekat nama syarikat itu pada kenderaan masing-masing, selain menghadiri aktiviti promosi yang dijalankan setiap bulan serta wajib mendaftar empat pembeli baharu menyertai skim yang ditawarkan.

Semakan pada sesawang syarikat terbabit, mendapati, lebih 300 pembeli disenaraikan sebagai ahlinya selepas membeli kenderaan yang ditawarkan,

Umpama skim ponzi

Seorang mangsa yang enggan identitinya disiarkan, menyifatkan helah syarikat itu umpama skim ponzi kerana merekrut pembeli untuk mempromosi skim terbabit, seterusnya mencari pelanggan baharu setiap tahun dalam usaha mendapatkan bayaran bulanan percuma.

Katanya, selepas pinjaman kereta diluluskan bank, beliau terkejut apabila syarikat berkenaan mengambil 10 peratus daripada jumlah pembiayaan yang dibuat tanpa kebenaran dan pengetahuannya.

“Saya memenuhi syarat perjanjian dengan melekatkan poster iklan pada kenderaan serta menyertai majlis yang dianjurkan.

“Namun begitu, ansuran bulanan pinjaman yang dijanjikan tidak dibayar secara tetap, malah tertunggak sehingga dua bulan menyebabkan akhirnya saya terpaksa membayar sendiri kerana bimbang kereta disita bank," katanya kepada BH.

Mangsa berkata, semakan beliau terhadap penyata invois diperolehnya daripada pengedar kenderaan yang sah, mendapati RM10,000 atau 10 peratus daripada nilai pinjaman yang diluluskan termasuk diskaun yang diberikan pengedar, sudah dibayar kepada syarikat terbabit tanpa pengetahuannya.

Tak terima dokumen bank

Beliau juga tidak menerima sebarang dokumen pinjaman sewa beli dari bank, sebaliknya dimaklumkan ia dalam simpanan pihak syarikat, malah beliau dikehendaki menambah lebih RM2,000 kepada syarikat berkenaan selepas pinjaman diluluskan.

Mangsa mendakwa terkejut apabila mendapati pinjaman diluluskan melebihi nilai sebenar harga pasaran kenderaan dibelinya, manakala lebihan pembiayaan berbanding harga sebenar dijual pengedar pula diambil sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

“Sebagai contoh, harga pasaran kereta unit asas dijual pengedar adalah RM120,000 tidak termasuk diskaun diberikan pengedar, tetapi jumlah pinjaman dipohon mengikut spesifikasi premium iaitu kira-kira RM140,000.

“Apabila bank meluluskan pinjaman sebanyak 90 peratus atau kira-kira RM126,000 daripada RM140,000 yang dipohon, syarikat berkenaan mengambil perbezaan nilai di antara kadar terbabit dengan harga sebenar kereta termasuk kadar diskaun yang diberikan,” katanya.

Beberapa pembeli kereta yang disenaraikan sebagai ahli, ketika dihubungi turut menasihati wartawan BH supaya tidak menyertai skim ditawarkan bagi mengelak tertipu dan menjadi mangsa seperti mereka yang sudah tertipu dengan helah syarikat terbabit.

Berita Harian X