Sabtu, 9 March 2019 | 2:12pm
Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (kiri). - Foto Ramdzan Masiam
Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (kiri). - Foto Ramdzan Masiam

Biar MAINPP maju kawasan: Mufti

BUTTERWORTH: Penduduk yang mendiami Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang di sini, diminta memberi laluan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) untuk membangunkan tanah berkenaan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata tindakan itu wajar demi kepentingan sejagat, selain hukum mendiami tanah wakaf bagi kepentingan bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya, harta ditinggalkan pewakaf sepatutnya dimanfaatkan semua golongan, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

“MAINPP selaku badan bertanggungjawab menguruskan tanah ini mahu mendirikan rumah yang boleh didiami 470 keluarga, berbanding hanya 46 keluarga sebelum ini. Justeru, penduduk perlu akur dan berkorban apatah lagi mereka juga menyalahi hukum.

Tawar rumah, pampasan

“Malah, MAINPP juga ada mengemukakan tawaran rumah ganti, pampasan dan bayaran sewa bagi rumah sementara menunggu projek siap,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Kelmarin, kerja meroboh beberapa rumah di tanah berkenaan bertukar kecoh apabila ada penduduk bertindak agresif hingga menyebabkan seorang anggota polis dan petugas MAINPP cedera.

Berikutan itu, seramai 11 penduduk ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Wan Salim berkata, MAINPP berdepan kerugian mencecah jutaan ringgit, khususnya dari segi kos guaman berhubung masalah itu berlarutan sejak 2010.

“Dalam hal ini, tidak patut jika mengatakan MAINPP zalim, sedangkan penduduk sendiri menzalimi diri mereka kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, juga hukum Islam,” katanya.

Sementara itu, seramai 10 daripada 11 penduduk ditahan ketika menghalang kerja perobohan rumah itu dibebaskan dengan jaminan ahli keluarga, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata seorang lagi individu berusia 30 tahun masih ditahan kerana positif dadah jenis syabu dan mencederakan polis.

“Dia direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian X