Sabtu, 9 March 2019 | 8:50pm
KETUA Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin (tiga dari kiri) merasmikan Program Zoom Kartun 2019 anjuran bersama Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KETUA Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin (tiga dari kiri) merasmikan Program Zoom Kartun 2019 anjuran bersama Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kesedaran daftar harta intelek tempatan masih rendah

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran usahawan tempatan lebih rendah berbanding usahawan asing dalam usaha memohon daftar harta intelek mereka di negara ini.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata permohonan paten tempatan adalah sebanyak 18,962 berbanding paten asing, 47,132 permohonan direkodkan MyIPO sejak 1986 sehingga tahun lalu.

Dalam tempoh sama, katanya, sebanyak 320,046 permohonan cap dagangan diterima daripada usahawan tempatan berbanding 382,700 permohonan daripada usahawan asing.

“Paten biasanya adalah mengenai fungsi sesuatu produk manakala cap dagangan pula berkait jenama produk dan kedua-dua kriteria ini termasuk dalam kategori harta industri. Hak cipta pula membabitkan karya sastera dan seni.

“Kesedaran usahawan tempatan untuk melindungi harta intelek mereka masih rendah kerana wujud persepsi seperti kos proses yang mahal dan ia tidak penting.

“Hakikatnya, kos permohonan tidak mahal dengan jaminan perlindungan 10 tahun dan sebenarnya ia amat penting bagi mengelakkan hasil usaha mereka diciplak,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Zoom Kartun 2019 anjuran bersama Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS), di sini, hari ini.

Program Zoom Kartun 2019 adalah platform yang mengetengahkan karya pelukis kartun, komik dan animasi tempatan kepada masyarakat umum.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari berlangsung bermula semalam, antaranya pertandingan Poster Komik Hak Cipta dan pelancaran buku Storyboard Animasi, selain pengunjung berpeluang bertemu karakter Awang Kenit, Robozeta serta pelukis komik tanah air.

Dalam pada itu, Mohd Roslan berkata, perlindungan hak cipta ke atas karya seni, sastera, muzik, rakaman bunyi dan filem adalah automatik.

“Bagaimanapun jika berlaku pertikaian, pembuktian pemilikan karya adalah suatu yang merumitkan tanpa pendaftaran hak cipta jika perlu dibuktikan di mahkamah.

“Sehingga kini, MyIPO menerima 23,748 permohonan hak cipta iaitu yang tertinggi karya sastera, diikuti karya seni dan filem.

“MyIPO menggalakkan lebih banyak permohonan sejajar tawaran Dana Hak Cipta dengan nilai keseluruhan RM500,000 kepada mereka yang layak,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X