Ahad, 10 March 2019 | 4:34pm
Mohd Shafie (depan lima, kanan) bergambar bersama Musbah (depan empat, kiri) serta orang ramai pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Taun Gusi hari ini. - Foto BERNAMA

MA63: Sabah hargai hasrat pinda Perkara 1 (2) Perlembagaan

KOTA BELUD: Sabah menghargai kesediaan Kerajaan Pusat untuk membentangkan pindaan bagi Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dalam sidang Dewan Rakyat bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perkara itu adalah antara agenda Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam pilihan raya lalu untuk memastikan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat direalisasikan.

“Ada perkara yang belum ditunaikan maka perlu ditunaikan termasuk pindaan dalam Perkara 1(2) yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong baru-baru ini, yang telah diluluskan untuk dibentangkan.

“Kita berharap pembentangan pindaan yang diluluskan Kabinet itu mudah-mudahan akan dilakukan. Kita merakamkan terima kasih kepada kerajaan Pusat,” katanya selepas merasmikan Pemimpin Bersama Rakyat, di sini, hari ini.

Yang turut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong; Timbalan Menteri Tenaga Teknologi Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli serta Ketua Daerah Kota Belud yang juga Ketua Bahagian WARISAN Kota Belud, Hanjan Samit.

Pada Jumaat lalu, Vui Keong berkata, Kabinet pada Rabu lalu bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie yang juga Presiden WARISAN berkata, penubuhan parti itu juga bertujuan menuntut hak rakyat Sabah yang termaktub dalam MA63.

“Kita suarakan apa yang kita mahu dan apa yang kita serta rakyat mahu adalah Sabah sebagai wilayah dan bukan seperti hari ini. Kita bukan menentang Kerajaan Persekutuan tetapi hanya mahu MA63 ditunaikan.

“Selain itu, sejajar dengan tuntutan masa kini khususnya dalam aspek pembangunan, kita berasakan lima peratus royalti minyak perlu ada perubahan. Sekarang sudah tahun 2019 dan bukan lagi 1975 atau 1976. Kita memerlukan peruntukan mencukupi untuk pembangunan.

“Ini adalah sebahagian daripada tuntutan dan suara kita dalam WARISAN yang tidak akan berhenti di sini sehingga mendapat kejayaan. Kita tidak mahu sekadar pelaksanaan program CSR (tanggungjawab sosial korporat) sebaliknya kita mahu royalti yang lebih bagi manfaat kepada semua penduduk di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie, berkata tiada rombakan Kabinet negeri susulan kemasukan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam WARISAN.

“Kemasukan mereka sama ada Musbah atau Bolkiah (Datuk) adalah berlandaskan keikhlasan mereka demi kepentingan dan pembangunan rakyat di kawasan mereka, bukannya ada tawar menawar,” katanya.

Beliau berkata, kehendak rakyat menjadi keutamaan dalam kepimpinan kerajaan yang diterajui WARISAN.

“Sekarang adalah gelombang untuk membangunkan Sabah dan berharap semua pemimpin memainkan peranan mereka kepada rakyat,” katanya.

Berita Harian X