Selasa, 12 March 2019 | 2:08pm
Keadaan bangunan utama Desa Utara Resort yang terbiar di Tasik Pedu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Resort Tasik Pedu bertahan tak sampai 15 tahun

• Tasik Pedu tasik buatan manusia yang terbesar di Kedah 52 kilometer persegi dan sedalam 60 meter

• Dibina pada tahun 1966 dan siap sepenuhnya pada tahun 1969

• Dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

• Rekabentuk dan membina empangan oleh firma perunding dari England, William Halcrow dari England

• Perancangan sejak Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970)

• Kos pembinaan RM200 juta

• Terletak 80km dari Alor Setar serta 50km dari Kuala Nerang

• 5km dari sempadan Malaysia-Thailand

• Dibina untuk pesawah padi di Kedah dan Perlis bagi penanaman padi dua kali setahun

• Diurus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)

Keadaan bangunan Anjung Pedu Lake Resort Seri Negeri yang terbiar di Tasik Pedu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Projek pembangunan pelancongan Tasik Pedu yang sepatutnya menjadi antara destinasi tersohor dan penyumbang ekonomi negeri Kedah, hanya mampu bertahan tidak sampai 15 tahun selepas dimulakan pada 1990.

Lebih menyedihkan, tiga hotel bertaraf antarabangsa dengan ratusan chalet yang dibangunkan, kini sekadar bangunan terbiar di kawasan yang kembali menjadi hutan belantara.

Ia merangkumi tiga bangunan utama hotel, 300 buah chalet, kolam renang, pusat cenderahati dan beberapa restoran, dewan, bilik mesyuarat, disko, karaoke lounge, stesen house keeping, kompleks sukan air, gelanggang tenis dan squash, padang golf, rumah kakitangan, rumah bekalan TNB, tangki air dan saluran bekalan air.

Holiday Inn Pedu Lake Resort yang kemudiannya diambil alih oleh Mutiara Pedu Lake and Golf Resort serta Desa Utara Resort dan Anjung Pedu Lake Resort Seri Negeri kini menjadi nesan sejarah pelancongan negeri yang gagal.

Melihat kepada jumlah pelaburan dan keunikan Tasik Pedu, adalah tidak masuk akal apabila kawasan tasik yang kaya dengan flora dan fauna itu bukan saja gagal menempatkan diri dalam senarai destinasi pelancongan negara ini, tetapi ditutup sepenuhnya pada 2010.

Selepas ditutup, Tasik Pedu yang dibina untuk menjadi antara takungan utama negeri hanya menjadi sumber air untuk sawah seluruh Kedah yang diurus selia Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selain sumber pendapatan lebih 50 nelayan.

Biarpun kerajaan negeri pernah menyuarakan hasrat untuk membangunkan semula kawasan terbabit pada Mei 2014, sehingga kini tiada sebarang usaha dapat dilihat.

Amir Wahab, 42, bekas pegawai eksekutif sebuah resort di situ, berkata pembangunan pelancongan Tasik Pedu yang mengandungi hotel mewah, dibuka secara rasmi kepada pelancong pada tahun 1995.

Bekas pegawai eksekutif resort di Tasik Pedu, Amir Wahab. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Beliau yang pernah bekerja di Holiday Inn dan Desa Utara Resort berkata, pada awalnya ramai pelancong terutama dari luar negara berkunjung ke situ sehingga memberi limpahan rezeki kepada penduduk setempat tetapi keadaan itu tidak bertahan lama.

“Kegagalan memahami apa yang perlu dibuat menyebabkan kawasan terbabit yang cantik dan berada berhampiran Banjaran Kedah Singgora gagal bertahan. Malah Holiday Inn Pedu Lake Resort teruk terjejas apabila padang golf dan sebahagian chalet ditenggelami air.

Pintu masuk utama Mutiara Pedu Lake yang dahulunya dikenali sebagai Holiday Inn Resort di Tasik Pedu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

“Saya sebagai penduduk tempatan ketika itu, melihat kelemahan aspek pembangunan yang tidak dikaji terlebih dahulu, akses ke lokasi, perniagaan untuk golongan kaya dan kurangnya promosi, antara faktor utama kegagalan projek pelancongan itu yang hanya mampu bertahan selama 10 tahun sahaja.

“Sekiranya, pembangunan ditumpukan kepada konsep bercampur iaitu sederhana dan mewah dan menggunakan kaedah pelancongan agro, eco dan edu, pastinya Tasik Pedu akan menjadi lokasi terbaik di negara ini dan mungkin juga di dunia,” katanya yang ditemui di Rumah Bot Serimahawangsa di Tasik Pedu, baru-baru ini.

Ditanya mampukah pelancongan Tasik Pedu dibangunkan semula, Amir berkata kerajaan negeri dan MADA boleh berganding bahu untuk tujuan itu.

“Kerajaan negeri sebagai pemilik tanah dan MADA sebagai pihak yang menguruskan Tasik Pedu mampu memainkan peranan dan menggunakan anak tempatan memajukan kawasan ini.

“Saya sendiri sudah bekerja di Tasik Pedu sejak 1996 dan kini menjadi usahawan rumah bot di bawah penyeliaan MADA. Saya akui Tasik Pedu amat unik dan mempunyai pelbagai tarikan termasuk Gunung Fakir Terbang dan Bukit Batu Merah.

“Saya sebagai anak tempatan tahu kemampuan tasik ini dan yakin ia mampu dikembangkan jika pembangunan pelancongan dilakukan secara serius,” katanya.

Pemandangan Tasik Pedu dari Desa Utara Resort ketika tinjauan di Tasik Pedu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kedah Tourism kaji pembangunan

Pembangunan semula pelancongan Tasik Pedu adalah antara topik yang akan dibincangkan mesyuarat pertama Kedah Tourism, hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata pihaknya menubuhkan Kedah Tourism sebagai agensi yang akan bertanggungjawab untuk meneliti, mengkaji dan mencari kaedah terbaik bagi memastikan sektor pelancongan kembali rancak, sekali gus memberi pulangan yang lumayan.

Beliau berkata, mesyuarat terbabit akan membincangkan produk yang boleh dibangunkan di 12 daerah yang sememangnya mempunyai kelebihan masing-masing.

"Buat masa ini, kita sedang meneliti semua produk yang ada di negeri ini dan apa yang boleh dilihat, Kedah mempunyai pelbagai produk berkaitan alam semula jadi yang pastinya mempunyai keunikan tersendiri berbanding negeri lain.

"Penelitian ini bukan saja terhadap Tasik Pedu tetapi banyak lagi produk yang ada kerana semuanya perlu diurus secara sistematik dengan diberi pakej menarik bagi membolehkan ia diperkenalkan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Kebanyakan pelancong terutama dari luar negara, sukakan pelancongan berkaitan alam semula jadi dan sudah pastinya Kedah mampu menawarkannya. Kita perlu ada keunikan tersendiri supaya identiti Kedah menjadi perhatian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bot yang rosak dibiarkan di tepi tasik mencemarkan pemandangan Tasik Pedu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Mohd Asmirul berkata, pihaknya mahu memastikan produk pelancongan Kedah mampu bersaing dengan lokasi pelancongan yang popular di negara ini seperti Pulau Pinang.

"Bagi memastikan Kedah setanding, sudah pastinya kita mahu memastikan produk makanan Kedah ada rasa Kedah seperti Thailand yang mempromosikan produk pelancongannya dan makanannya.

"Kita mahu membuat cara tersendiri dan bukannya meniru apa yang negara lain buat. Justeru, usaha memperkasakan produk pelancongan perlu dilakukan secara tersusun," katanya.

Ditanya sama ada Kedah mempunyai peruntukkan khas bagi memperkasakan produk pelancongan itu, Mohd Asmirul berkata bantuan Kerajaan Pusat dan pihak swasta mampu menjayakannya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris. - NSTP/Amran Hamid

Katanya, pihaknya sentiasa terbuka dan berkeyakinan dengan kerjasama pihak swasta mampu memudahkan perancangan kerajaan negeri yang mempunyai sumber kewangan terhad.

"Saya juga sudah beberapa kali berjumpa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, bagi membincangkan usaha yang sedang dilakukan ini dan ia mempunyai hasil yang positif apabila beliau menzahirkan hasrat untuk membantu Kedah.

"Bagaimanapun, kekurangan sumber kewangan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk Kedah tidak melakukan apa-apa dan kita akan membuat apa juga yang termampu supaya Kedah membina nama dalam sektor pelancongan," katanya.

INFO hotel dan resort Tasik Pedu

• Dibangunkan mulai 1990 dan dibuka pada 1995

• Nilai pembangunan lebih RM100 juta membabitkan pembinaan hotel dan resort lima bintang

• Holiday Inn Pedu Lake Resort seluas 287 hektar (RM60 juta), Desa Utara Resort seluas 120 hektar (RM35 juta) dan Anjung Pedu Lake Resort Seri Negeri seluas 60 hektar

• Berada berhampiran Gunung Fakir Terbang dan Bukit Batu Merah

• Tempoh beroperasi kurang 15 tahun

• Jumlah keseluruhan kakitangan hampir 400 orang

Berita Harian X