Selasa, 12 March 2019 | 3:21pm
Noripah (tengah) diiringi Pengurusan Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Prof Datuk Seri Daing Nasir Ibrahim pada pelancaran Biasiswa Yayasan Bank Rakyat di Dewan Tunku Abdul Razak, Menara 1 Menara Kembar Bank Rakyat, Jalan Rakyat, Brickfields. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Yayasan Bank Rakyat tawar biasiswa RM2.25 juta

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menawarkan Biasiswa YBR bernilai RM2.25 juta kepada 15 pelajar terpilih bagi melanjutkan pengajian semester pertama secara sepenuh masa pada tahun ini dalam bidang data sains, kejuruteraan dan pengurusan.

Pengerusinya, Datuk Noripah Kamso, berkata biasiswa itu adalah antara komitmen yayasan dalam pendidikan bagi membantu membiayai pengajian pelajar cemerlang dari pelbagai latar belakang.

Selain itu, katanya, YBR akan meneruskan tradisi menawarkan bantuan kewangan kepada pelajar peringkat asasi, matrikulasi, diploma dan sarjana muda bagi 2019 di institusi pengajian tinggi awam serta swasta di dalam dan luar negara.

“Sejak 2007, YBR memperuntukkan sebanyak RM131.5 juta bagi menaja 4,904 pelajar dengan 2,839 daripada mereka sudah menamatkan pengajian.

“Terkini, kita tawarkan Biasiswa YBR di mana ia turut ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Biasiswa Yayasan Bank Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, pelajar terpilih yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) cemerlang akan ditawarkan biasiswa penuh dan selebihnya, akan ditawarkan pembiayaan pendidikan boleh ubah (PPBU).

Noripah berkata, 15 pelajar terbaik dipilih dari seluruh negara bagi Biasiswa YBR selepas melepasi tiga peringkat tapisan, iaitu tapisan peringkat dalam talian, temu duga dan kem khas yang diadakan oleh pihak yayasan.

“Bagi mereka yang berminat, permohonan boleh dilakukan melalui aplikasi MyYBR atau laman web yayasan sebelum 28 Mac ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, YBR memperuntukkan sebanyak 70 peratus daripada dana yang diterima daripada Bank Rakyat serta anggota untuk pembiayaan pendidikan serta biasiswa kepada pelajar cemerlang dan 20 peratus untuk program pembangunan mampan, manakala selebihnya adalah bagi operasi dan pelaburan. - BERNAMA

Berita Harian X