Rabu, 13 March 2019 | 9:00am
PENOLONG Ketua Pengarah Pendaftaran dan Pematuhan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO), Azahar Abdul Razab menunjukkan contoh surat perakuan pendaftaran. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
PENOLONG Ketua Pengarah Pendaftaran dan Pematuhan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO), Azahar Abdul Razab menunjukkan contoh surat perakuan pendaftaran. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Risiko hilang identiti batik Malaysia

KUALA LUMPUR: Batik dijangka berdepan risiko hilang identiti sekiranya usahawan tempatan tidak mengambil langkah mendaftarkan reka bentuk dihasilkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Menerusi pendaftaran itu, sekurang-kurangnya dapat membendung isu berkaitan penjualan batik tiruan secara berleluasa yang sukar dikawal pada masa kini dan akan datang.

Justeru, usahawan disaran mendaftar di bawah Harta Industri yang merangkumi cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian dan hak cipta.

Penolong Ketua Pengarah, Pendaftaran dan Pematuhan, MyIPO, Azahar Abdul Razab, berkata pendaftaran reka bentuk perindustrian memberi hak eksklusif kepada pemilik menjual, mengeluar dan menyewa reka bentuk terbabit.

Katanya, pendaftaran tidak memberi jaminan peniruan tidak berlaku. Bagaimanapun pemilik boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa saja yang menjual, mengeluar dan menyewa reka bentuk terbabit tanpa kebenaran.

“Sekiranya berlaku peniruan, pemilik berdaftar sesuatu reka bentuk perindustrian boleh mengambil tindakan undang-undang sivil di mahkamah ke atas peniru reka bentuk dalam tempoh lima tahun dari tarikh tempoh berlakunya peniruan terbabit,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini BH melaporkan mengenai keunikan batik Malaysia terancam berikutan kecenderungan pengusaha dari negara jiran menciplak rekaan dan motif tempatan pada produk keluaran mereka.

Lambakan batik dari Indonesia, China, Korea dan Thailand dipasarkan secara berleluasa di negara ini bagi mengaburi mata dan menarik minat pembeli tempatan.

Beliau berkata, setakat ini kesedaran pembatik tempatan masih rendah untuk memelihara harta intelek daripada diciplak pengusaha luar.

Statistik menunjukkan hanya lima usahawan batik memfailkan permohonan rekaan bentuk perindustrian di MyIPO, membabitkan 24 permohonan, setakat ini.

Beliau turut menyarankan usahawan tempatan mendaftar harta intelek mereka khususnya pendaftaran cap dagangan sebelum dieksploitasi oleh orang lain.

Sebagai contoh, memberi jenama bagi sesuatu produk, memudahkan pembeli atau orang awam mengenali dan membezakan antara pengeluar sebenar dengan produk pesaing.

Ini juga dapat mengelakkan produk yang dipasarkan daripada ditiru berdasarkan ciri-ciri tertentu dan unik yang dipaparkan melalui cap dagangan.

“Sepatutnya MyIPO menerima banyak permohonan untuk cap dagangan tetapi setakat ini hanya dua usahawan batik dan dua usahawan memohon mendaftar hak cipta di bawah karya seni.

“Terdapat juga beberapa permohonan dari batik Terengganu yang dibuat oleh Yayasan Pembangunan Terengganu, Sabah Batik dan Sabah Handicrafts Center di bawah petunjuk geografi,” katanya.

Tempoh diperlukan mengikut piagam pelanggan bagi mendaftarkan reka bentuk perindustrian adalah selama lapan bulan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Azman Adam, berkata pendaftaran ke MyIPO penting kerana ia boleh menjadi bukti batik yang dihasilkan adalah milik mereka.

“Pemilik batik yang ingin membuat aduan mengenai produk mereka yang diciplak perlu membuktikan batik berkenaan milik mereka dan ditiru melalui dokumen yang didaftarkan di MyIPO.

“Tanpa dokumen ini, sukar untuk pihak KPDNKK untuk mengambil tindakan berdasarkan aduan batik tiruan atau ciplak,” katanya.

info

Prosedur Pendaftaran Cap Dagangan

1. Borang permohonan

2. Akaun berkanun

3. Yuran permohonan ( RM 370)

Prosedur Pendaftaran Petunjuk Geografi

1. Borang permohonan

2. Akaun berkanun

3. Yuran permohonan RM250

1. Cap dagangan

Pemilik cap dagangan berdaftar berhak mengambil tindakan undang-undang sivil ke atas mana- mana orang yang menggunakannya tanpa kebenaran atau mengambil tindakan di bawah undang-undang jenayah di bawah Trade Description Act.

2. Petunjuk geografi

Pemilik cap dagangan berdaftar berhak mengambil tindakan undang-undang sivil ke atas mana-mana orang yang mengunakannya tanpa kebenaran.

Kenapa perlu daftar?

1. Mendapat hak eksklusif

2. Dilindungi dari tarikh pendaftaran

3. Boleh dijual atau dilesenkan

4. Boleh mengambil tindakan undang-undang

5. Pendaftaran cap dagangan sebagai bukti pemilikan sah

Berita Harian X