Rabu, 13 March 2019 | 1:55pm
Pelombong bauksit yang gagal patuh SOP baharu berkaitan aktiviti perlombongan di Pahang akan dihadapkan ke mahkamah. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Pelombong bauksit yang gagal patuh SOP baharu berkaitan aktiviti perlombongan di Pahang akan dihadapkan ke mahkamah. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Pelombong bauksit dikenakan peraturan lebih ketat

KUALA LUMPUR: Pelombong bauksit yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih ketat berkaitan aktiviti perlombongan di Pahang akan dihadapkan ke mahkamah.

Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 memperuntukkan hukuman denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata SOP baharu itu akan dikuatkuasakan sebagai satu peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127) dan Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525).

SOP berkenaan yang boleh diakses di laman web kementerian itu mulai 31 Mac ini, merangkumi seluruh rantaian aktiviti perlombongan bermula dari peringkat pra-perlombongan, ketika perlombongan dan pasca perlombongan.

Katanya, Jabatan Mineral dan Geosains tidak akan mengeluarkan kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) kepada pemegang pajakan melombong atau lesen melombong sehingga semua syarat dipenuhi terutama kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang diwajibkan.

“Tindakan ini dilaksana demi memelihara kemampanan industri perlombongan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk serta perlindungan alam sekitar,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Xavier berkata, walaupun kementeriannya sebelum ini mengumumkan tempoh moratorium bauksit berakhir 31 Mac ini, ia tidak bermakna aktiviti perlombongan boleh terus bermula 1 April depan.

Katanya, aktiviti perlombongan hanya boleh dijalankan semula selepas arahan pemberhentian operasi perlombongan bauksit yang dikeluarkan pada Januari 2016 ditarik balik seperti termaktub mengikut Akta 525.

“Saya ingin menegaskan arahan pemberhentian operasi perlombongan hanya akan ditarik balik selepas semua pihak berkepentingan bersedia melaksana dan menguatkuasa SOP aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit negeri Pahang.

“Ia bagi menjamin aktiviti perlombongan bauksit dilaksana secara mampan,” katanya sambil memaklumkan sesi pendengaran awam akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas mengenai SOP berkenaan pada 14 April depan.

Beliau berkata aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan termasuk pematuhan kepada SOP baharu ini akan dilaksana sepenuhnya kerajaan Pahang.

Katanya, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah ditempatkan di semua agensi dan jabatan berkaitan bagi memastikan proses pematuhan SOP itu dipenuhi.

“Saya percaya semua langkah yang dilakukan ini akan menyelesaikan masalah berkaitan bauksit di Pahang,” katanya.

Berita Harian X