Rabu, 13 March 2019 | 8:57pm
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Empat penduduk tanah wakaf halang, cederakan penjawat didakwa esok

KEPALA BATAS: Empat individu yang ditahan kerana cuba menghalang operasi merobohkan rumah di Tanah Wakaf Abdul Cauder di Butterworth dan mencederakan seorang anggota polis Khamis lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, mengesahkan kesemua lelaki yang berumur di antara 30 dan 51 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 332 kanun yang sama kerana mencederakan penjawat awam.

“Timbalan Pendakwa Raya hari ini telah memaklumkan kepada kami bahawa keempat-empat lelaki itu akan didakwa di mahkamah esok,” katanya di sini.

Keempat-empat lelaki ini adalah di antara 11 orang penduduk di tanah wakaf itu yang ditahan 8 Mac lalu setelah bertindak agresif cuba menghalang pasukan petugas Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menjalankan operasi meroboh kediaman di kawasan itu.

Dalam kejadian itu, seorang anggota polis yang mengiringi pasukan petugas MAINPP cedera setelah dilaporkan diserang oleh kumpulan penduduk berkenaan.

Seksyen 186 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 332 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Berita Harian X