Khamis, 14 March 2019 | 12:02am
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM, Media Prima, 3 syarikat telekomunikasi lancar hab 'JomStudi' di Labu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) komited memupuk kemahiran pengekodan dan robotik bagi memenuhi keperluan Revolusi Industri 4,0 (IR4.0).

Sehubungan itu, SKMM merancang untuk mempergiatkan program seperti ‘myMaker’, satu inisiatif meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan mengguna pakai Internet of Things (IOT).

Malah, SKMM bersama Digi.com Bhd (Digi), Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) dan Media Prima Bhd (Media Prima) turut melancarkan hab pembelajaran digital ‘JomStudi’ di Pusat Internet Kampung Kering, Labu pada Jumaat lalu.

“JomStudi adalah hab pembelajaran digital yang menggabungkan kandungan pendidikan dalam satu platform, membolehkan pelajar sekolah mengakses dan meneroka kandungan digital.

“Manakala, ‘eKelas’ sebuah program diperkenalkan Maxis Bhd (Maxis) pada tahun 2017 yang mendedahkan pelajar kepada pembelajaran digital kini mempunyai seramai 9,000 pelajar dari seluruh negara.

“Program berkenaan memberi tumpuan kepada tiga subjek kritikal iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris untuk Tingkatan 1, 2 dan 3,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ketika ini, sebanyak 870 Pusat Internet dibangunkan di seluruh negara untuk menyediakan kemudahan internet di kawasan kurang mendapat liputan dan menyemai kemahiran penggunaan komputer sehingga berjaya mengumpul keahlian melebihi 590,000 orang dengan 57 peratus daripadanya pelajar.

SKMM menyatakan Pusat Internet juga bertindak sebagai pusat latihan ICT melatih golongan muda dan warga emas memperkasakan mereka dengan kemahiran komputer asas serta mendedahkan mereka kepada maklumat penting.

Kata kenyataan itu, pelbagai inisiatif yang menjurus kepada aspek keusahawanan juga dilaksanakan SKMM termasuk mempromosi produk tempatan ke pasaran lebih luas.

“Melalui kemudahan Internet, usahawan tempatan dapat menjalankan perniagaan secara dalam talian, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka dan pada masa sama, permintaan terhadap produk mereka meningkat.

“Secara purata, usahawan menikmati peningkatan lebih 60 peratus dalam sumber pendapatan mereka dan sehingga kini seramai 16,393 usahawan dalam talian mengambil bahagian dalam program pembangunan usahawan dalam talian dijalankan di Pusat Internet seluruh negara,” katanya.

Berita Harian X