Khamis, 14 March 2019 | 11:13am
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang baharu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto Rohanis Shukri

Ahmad Idham CEO baharu FINAS

KUALA LUMPUR: Pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), berkuat kuasa Isnin lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata pelantikan Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kreatif, adalah bagi tempoh dua tahun.

“Ahmad Idham yang memiliki ijazah sarjana muda perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam industri kreatif selain pernah mencatat rekod dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

“Pelantikan ini adalah keputusan lembaga berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan pemangku, Shakib Ahmad Shakir yang menjalankan tugas selama empat bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Gobind berkata, kementerian mengucapkan terima kasih kepada Shakib untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan berkenaan.

“Kementerian berharap Ahmad Idham akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha FINAS bagi membangunkan industri ini.

“Saya juga berharap agar ahli-ahli lembaga FINAS akan memberikan kerjasama yang penuh kepada beliau dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan,” katanya.

Berita Harian X