Khamis, 14 March 2019 | 3:24pm

Malaysia, Singapura terus bincang isu air

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura akan meneruskan perbincangan mengenai isu air di bawah Perjanjian Air 1962 (62WA), melalui Peguam Negara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kedua-dua negara komited untuk mencari penyelesaian berhubung isu berkenaan.

“Kita mengulangi komitmen kita untuk menyelesaikan isu dua hala dalam kaedah yang konstruktif dan menggalakkan usaha diplomatik berterusan untuk mencari penyelesaian terbaik untuk kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, selepas mesyuarat dua hala di Wisma Putra di sini, hari ini.

Sementara itu, Vivian berkata kedua-dua negara mempunyai pendapat berbeza mengenai hak untuk mengkaji harga air di bawah perjanjian berkenaan.

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa Peguam Negara kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan untuk lebih memahami kedudukan satu sama lain bagi perkara membabitkan hak mengkaji harga air di bawah perjanjian ini,” katanya.

Semalam, Singapura mendakwa Malaysia hilang hak untuk mengkaji semula harga air mengikut 62WA.

Jurucakap Kementerian Luar republik itu, berkata tiada keputusan mengkaji harga air berlaku pada pertemuan antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 November tahun lalu.

Katanya, kedua-dua pihak sebaliknya didakwa menyatakan pandangan berbeza mengenai hak mengkaji harga air di bawah 62WA dan menyatakan kesediaan mengadakan perbincangan lanjut untuk lebih memahami kedudukan dan hak masing-masing mengkaji harga air mengikut 62WA.

Singapura sebelum ini menolak rundingan semula perjanjian air kerana menganggap ia mencabar kedaulatannya sebagai negara merdeka, namun Malaysia berpendirian ia tidak begitu kerana terkandung dalam syarat perjanjian asal.

Klausa perjanjian asal menyebut ‘bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987, kedua-dua belah pihak dibenarkan mengikut perundangan menyemak semula harga berkenaan’.

Ketika ini, Singapura hanya membayar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dari Johor, sedangkan Melaka membeli air dari Johor pada kadar 30 sen untuk 1,000 gelen.

MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersalam bersama Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan selepas sidang media di Wisma Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersalam bersama Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan selepas sidang media di Wisma Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X