X
Khamis, 14 March 2019 | 4:16pm
Saifuddin bersalam bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian selepas sidang media di Wisma Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Saifuddin bersalam bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian selepas sidang media di Wisma Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Isu maritim: Malaysia-Singapura setuju laksana 5 syor

Putrajaya: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk melaksanakan lima syor mengenai isu maritim antara kedua-dua negara berkuat kuasa hari ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, dalam kenyataan media bersama memaklumkan, syor yang dicadangkan Kumpulan Kerja mengenai isu maritim antara kedua-dua negara itu akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan, sebelum rundingan mengenai persempadanan maritim dimulakan.

Katanya, syor pertama adalah kedua-dua negara bersetuju menggantung pelaksanaan had pelabuhan yang bertindih dan melaksanakan had pelabuhan yang berkuat kuasa masing-masing sebelum 25 Oktober dan 6 Disember 2018.

Syor kedua adalah kedua-dua negara tidak memberi kuasa dan menggantung semua aktiviti dalam kawasan yang bertindih, dan ketiga, kedua-dua negara tidak melabuhkan kapal di kawasan berkenaan.

Keempat, kapal Malaysia dan Singapura perlu beroperasi di kawasan itu mengikut undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

“Agensi berkaitan bagi kedua-dua pihak akan melaksanakan amalan praktikal untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini di kawasan berkenaan,” katanya selepas mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Singapura di Wisma Putra di sini, hari ini.

Kenyataan bersama Menteri Luar kedua-dua negara itu turut memaklumkan syor kelima yang dipersetujui iaitu bagi menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura bagi penentuan sempadan, yang akan memastikan pelaksanaan empat cadangan pertama dalam tempoh satu bulan.

Katanya, langkah yang diambil oleh kedua-dua negara itu tidak akan menjejaskan tuntutan sempadan maritim Malaysia dan Singapura di kawasan yang terbabit.

“Jika jawatankuasa itu tidak dapat mencapai penyelesaian yang baik dalam persempadanan, Malaysia dan Singapura boleh saling bersetuju untuk menggunakan prosedur penyelesaian pertikaian pihak ketiga antarabangsa yang sesuai untuk dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

Selain itu, Menteri Luar kedua-dua negara bersetuju bahawa langkah itu penting bagi mengatasi keadaan di lapangan dan membuka jalan bagi perbatasan maritim kawasan berkenaan.

“Langkah ini juga menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk bekerjasama memelihara hubungan dua hala yang kukuh dan positif berdasarkan kesaksamaan dan saling menghormati, dan untuk menyelesaikan isu dua hala dengan baik mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.

Katanya, pertemuan pada hari ini adalah susulan pertemuan di Singapura pada 8 Januari lalu di mana kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu maritim berkaitan had pelabuhan yang menimbulkan pertikaian sebelum ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X