Khamis, 14 March 2019 | 6:26pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Eizairi Shamsudin

Penyata bank palsu milik Guan Eng, laporan polis dibuat

PUTRAJAYA: Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini berhubung video yang tular di internet memaparkan penyata bank palsu didakwa milik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Sadiq Noor Azlan, berkata dokumen palsu itu direka semata-mata untuk memburukkan Guan Eng dan membayangkan beliau sebagai seorang yang tidak beramanah serta menerima rasuah berjumlah jutaan dolar Amerika Syarikat (AS).

Katanya, video itu sudah dinafikan CIMB Bank Berhad dalam siaran akhbar pada 12 Mac lalu yang mengesahkan akaun berkenaan tidak wujud.

“Video yang ditularkan pada laman sosial dan aplikasi telefon pintar terutama laman YouTube bertujuan memfitnah dan menjejaskan imej awam Menteri Kewangan.

“Penyata bank palsu itu disebarkan dengan niat jahat, bertujuan membangkitkan perasaan marah, tidak puas hati dan rasa kebencian rakyat terhadap Menteri Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sadiq turut berharap polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat menyiasat pemilik akaun YouTube berkenaan supaya individu terbabit tidak terus menyalahgunakan laman sosial untuk menyebarkan fitnah.

“Orang ramai dinasihatkan untuk memastikan kesahihan dan ketulenan maklumat serta sumber maklumat diterima melalui media sosial.

“Tindakan menyebarkan maklumat palsu seperti video itu satu perbuatan jenayah mengikut pelbagai undang-undang termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233),” katanya.

Berita Harian X