Khamis, 14 March 2019 | 11:29pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Program Pro Du-it diperluas ke seluruh negara

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menjalin kerjasama dengan Johor Corporation (JCorp) bagi mengembangkan inisiatif celik kewangan Pro Du-It ke seluruh negara.

Menteri, Dr Maszlee Malik, berkata perluasan program celik kewangan di sekolah, yang dimulakan di Johor pada 2017, itu akan berupaya melatih dan mendidik murid mengenai cara menguruskan perbelanjaan dan menabung dengan lebih sistematik.

“Kanak-kanak zaman ini mempunyai kuasa membeli yang besar, sama ada secara langsung atau tidak langsung selain terdedah kepada aspek komersialisme yang tinggi.

"Justeru, amatlah penting bagi kita sama-sama mengajar mereka untuk berbelanja secara berhemah serta membendung budaya pembaziran dalam perbelanjaan agar tidak lemah mengurus kewangan apabila dewasa kelak," katanya pada majlis pelancaran program Pro-Du-It peringkat kebangsaan, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekuitf JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata untuk permulaan, perluasan program Pro-Du-It itu akan membabitkan 90 sekolah dan dijangka memberi manfaat kepada 2,500 murid.

"Ketika diperkenalkan, program yang membabitkan 120 guru daripada 60 sekolah itu berjaya melahirkan 1,800 pelajar celik kewangan. Setakat ini, peserta telah merekodkan simpanan terkumpul dalam tabung berjumlah RM160,000, iaitu purata simpanan RM140 seorang berbanding RM49 pada 2017," katanya.

Sepanjang program itu, pelajar digalakkan membuka akaun simpanan dan membuat catatan rekod harian mereka di buku log yang dibekalkan, yang mana peserta yang memenuhi kriteria akan diberikan anugerah bagi menaikkan semangat untuk terus menyimpan dan menguruskan kewangan dengan baik, katanya.

Berita Harian X