Sabtu, 16 March 2019 | 12:18pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Tauliah Pegawai Kadet ATM Tahun 2019 di Kem Perdana Sungai Besi. - Foto BERNAMA

Agong sempurnakan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2019 di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Buat julung kali, istiadat itu menggabungkan Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan bersama Pegawai Kadet Graduan daripada Akademi Tentera Darat, Kapal Diraja Sultan Idris I dan Akademi Tentera Udara.

Perbarisan itu turut disertai Pegawai Kadet daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Seramai 504 Pegawai Kadet ditauliahkan hari ini terdiri daripada mereka yang menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan institusi pengajian tinggi awam lain.

Majlis hari ini menyaksikan Pegawai Rendah Muda Mohd Zulzafri Zolkarnain dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan.

Turut hadir Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany. – BERNAMA

Berita Harian X