Sabtu, 16 March 2019 | 1:02pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

Negara catat peningkatan FDI kepada RM80.5 bilion tahun lalu - Guan Eng

PUTRAJAYA: Malaysia merekod pertumbuhan memberangsangkan bagi pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan untuk semua sektor, iaitu meningkat 48 peratus kepada RM80.5 bilion sepanjang tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata angka itu merupakan penunjuk pelopor penting bagi membantu orang ramai memahami kecenderungan keadaan ekonomi negara.

Beliau berkata, pertumbuhan FDI yang diluluskan itu ditambah dengan kenaikan 3.2 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) untuk Januari 2019.

“Pertumbuhan pengeluaran perindustrian ini adalah lebih baik berbanding konsensus pasaran 2.3 peratus seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

“Perkembangan ini adalah selaras dengan angka positif yang dicatatkan Malaysia dan kecenderungan positif ini dijangka berterusan walaupun negara berhadapan dengan cabaran luaran.

“Kepimpinan jelas dan bersih yang disediakan kerajaan dalam membimbing ekonomi negara banyak membantu meningkatkan FDI yang diluluskan sepanjang tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi separuh tahun pertama 2018, FDI diluluskan bagi semua sektor hanya RM26.5 bilion, namun nilai itu meningkat mendadak kepada RM54 bilion pada separuh tahun kedua.

Guan Eng berkata, peningkatan ketara itu juga memperlihatkan peranan penting yang dimainkan Malaysia sebagai sebuah hab pembuatan bagi rantau ini dan ruang selamat (safe haven) untuk rantaian bekalan antarabangsa ketika perang dagang antara Amerika Syarikat dan China berlanjutan.

Beliau berkata, jumlah FDI pembuatan yang diluluskan daripada China juga meningkat kepada RM19.7 bilion pada tahun lalu, iaitu naik 410.8 peratus atau RM15.8 bilion daripada RM3.9 bilion pada 2017.

“Pada masa sama, FDI daripada Amerika Syarikat naik 184.9 peratus atau sebanyak RM2.1 bilion kepada RM3.2 bilion pada tahun lalu berbanding RM1.1 bilion pada 2017.

“Bagaimanapun, bukan Amerika Syarikat dan China sahaja yang sedang mempertingkatkan pelaburan mereka, sebaliknya pelabur Indonesia turut melabur sebanyak RM9 bilion dalam bidang pembuatan yang juga peningkatan drastik berbanding hanya RM0.5 juta pada 2017.

“Ini menjadikan Indonesia sumber FDI kedua terbesar selepas China untuk tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuan bagi meningkatkan kualiti pertumbuhan dan memastikan hasil pembangunan negara dapat dinikmati bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Berita Harian X