Sabtu, 16 March 2019 | 2:13pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan pengurniaan hadiah Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan pengurniaan hadiah Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto BERNAMA

Agong mahu warga ATM sentiasa pamer profesionalisme, disiplin tinggi

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mahu seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mempamerkan sikap profesionalisme dan disiplin yang tinggi.

Pemerintah Tertinggi ATM itu bertitah, sebagai sebuah organisasi berkecuali, profesionalisme ATM diterjemahkan melalui prinsip taat setia kepada Raja dan negara.

“Inilah menjadi asas utama kepada sebuah angkatan tentera yang disanjung tinggi dan dihormati sekalian rakyat.

“Jangan sekali-kali meruntuhkan benteng disiplin dan profesionalisme yang sudah dibina oleh ribuan pejuang negara sebelum ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2019 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan bahawa jika benteng itu runtuh, ia akan merosakkan etos ketenteraan dan akhirnya negara serta rakyat yang menerima padah.

Yang di-Pertuan Agong seterusnya bertitah, dalam menggalas amanah sebagai benteng utama pertahanan negara, ATM tidak boleh kekal statik dan berterusan mengamalkan pembudayaan minda yang masih di tahap lama.

Baginda bertitah, dunia kini berhadapan dengan pelbagai ancaman sama ada ancaman tradisional, hibrid mahupun di alam maya.

“Pada hemat beta, ATM hendaklah sentiasa melakukan pembaharuan melalui pelan transformasi yang terancang,” titah baginda.

Baginda bertitah, ia bagi membolehkan ATM bergerak seiring dengan pelbagai ancaman dan cabaran dunia yang mendatang.

“Transformasi dimaksudkan mesti berpandukan kepada dasar negara yang ditentukan melalui persepsi terhadap cabaran domestik, geopolitik serantau dan antarabangsa serta faktor sistemik,” titah baginda.

Pada istiadat itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan watikah pentauliahan kepada 504 pegawai kadet ATM yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan institusi pengajian tinggi awam lain. – BERNAMA

Berita Harian X