Sabtu, 16 March 2019 | 5:32pm

KPDNHEP beri amaran peniaga naikkan harga penutup mulut, hidung

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng perlindungan pernafasan secara tidak munasabah.

Difahamkan, harga peralatan itu meningkat khususnya di beberapa daerah di Johor susulan kejadian pencemaran toksik di Pasir Gudang.

KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan tindakan boleh diambil melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi kesalahan menaikkan harga peralatan berkenaan.

Katanya, terdapat lima jenis topeng perlindungan pernafasan yang ditetapkan harga maksimum runcit bagi barang harga terkawal, iaitu topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga) iaitu harga borong (RM5 sekotak) dan harga runcit (RM7 sekotak).

Bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan ( gelung telinga) pula, harga borong ditetapkan RM8 sekotak dan RM10 sekotak bagi harga runcit. Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) pula, harga borong ditetapkan RM25 sekotak dan harga runcit 80 sen seunit.

Harga borong bagi topeng muka (pembedahan/ perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala) RM30 sekotak dan harga runcit 80 sen seunit. Topeng muka (pembedahan / perubatan) N95 pula ditetapkan RM100 sekotak harga borong dan RM6 seunit bagi harga runcit.

“Kelima- lima jenis topeng muka ini dikawal harganya secara perundangan mengikut peruntukan akta yang sama dan sebarang perlanggaran boleh dikenakan tindakan undang-undang,” kata kementerian berkenaan.

Kementerian juga memohon kerjasama dan perhatian pihak yang terbabit dalam pembekalan dan penjualan topeng muka agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum topeng muka yang ditetapkan kerajaan.

“Bagi jenis topeng muka selain daripada lima jenis yang ditetapkan harga maksimumnya, KPDNHEP masih mempunyai kuasa mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (bagi sebarang perlakuan menaikkan harga borong atau runcit topeng muka secara tidak munasabah),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X