Ahad, 17 March 2019 | 10:25pm
Dr Mahathir berucap pada Majlis Perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Seremban, malam ini. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Fahami isi kandungan al-Quran sebagai panduan hidup

SEREMBAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap jiwa yang penuh dengan kebencian mampu membuatkan manusia bertindak di luar batasan.

Mengulas mengenai insiden yang berlaku di Christchurh, New Zealand beliau berkata, tindakan kejam itu tidak boleh dibalas dengan pembunuhan jika umat Islam memahami isi kandungan al-Quran.

“Antara isi kandungan dalam al-Quran adalah larangan membunuh walaupun orang itu bukan Islam.

“Tetapi malangnya hari ini kita lihat ramai Islam berbunuhan sesama sendiri di merata tempat termasuk apabila mereka berhijrah ke tempat lain.

“Hasilnya berlaku tindakan balas dendam seperti yang berlaku di Christchurch kerana mereka balas dendam dengan berbunuhan dan yang jadi mangsa insan yang tidak bersalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Seramai 112 peserta menyertai acara tilawah dan menghafaz yang diadakan selama enam hari bermula hari ini sehingga 22 Mac.

Justeru Tun Dr Mahathir menyeru kepada semua umat Islam supaya membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya supaya hidup lebih sempurna dan aman.

“Al-Quran memberi panduan kepada umat Islam perkara yang dilarang atau diwajibkan, perkara yang semuanya membentuk peribadi mulai jika kita ikut.

“Dengan membaca al-Quran juga Allah memberi petunjuk untuk selesaikan kekusutan,” katanya.

Berita Harian X