Isnin, 18 March 2019 | 10:46am
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto BERNAMA
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto BERNAMA

Kenakan hukuman berat - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan mesti melaksanakan penguatkuasaan lebih serius terhadap pihak yang sengaja membuang sisa beracun ke sungai.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah undang-undang baharu hendaklah digubal, jika perlu untuk mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah yang mencemarkan sumber air di negeri itu.

Baginda bertitah, Kerajaan Selangor juga perlu mempergiatkan kempen kesedaran menjaga kebersihan sungai yang menjadi sumber air di Selangor dalam usaha mendidik masyarakat.

“Beta dimaklumkan bahawa empat atau lima sungai di Selangor telah tercemar dengan bahan buangan daripada sisa pepejal dan sisa toksik,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah dalam Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor ke-14, di sini, hari ini.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin bertitah, kawasan tadahan air dan hutan simpan di Selangor mestilah dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya sumber air untuk rakyat sentiasa mencukupi serta tidak terjejas pada masa akan datang.

Baginda bertitah, usaha mengekalkan hutan simpan serta keindahan flora fauna hendaklah dilakukan, selain memastikan tiada aktiviti pembalakan berlaku di hutan simpan atau kawasan tadahan air.

Titahnya, penggunaan air oleh isi rumah di Selangor lebih tinggi, berbanding purata kadar nasional dan sekiranya jumlah berkenaan dapat diturunkan, langkah itu boleh menyumbang kepada penjimatan air bersih serta menjamin bekalan sumber air berterusan.

“Selain tumpuan kepada menambah baik pengurusan perkhidmatan bekalan air, beta mahu kerajaan negeri bersama-sama dengan agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memberi tumpuan mendidik rakyat supaya mereka sedar akan tanggungjawab menghargai air dan tidak menggunakannya dengan sewenang-wenang dan membazir.

“Beta berkenan apabila kerajaan negeri telah mengambil tindakan proaktif, strategik dan terancang dengan menyediakan Pelan Induk Sumber Air Negeri Selangor yang dapat menjamin kelangsungan bekalan air sehingga 2065,” titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah, langkah kerajaan Selangor beralih daripada cara konvensional kepada menggunakan teknologi Sisa kepada Tenaga ataupun ‘Waste To Energy’ tepat pada masanya dalam usaha melupuskan sisa pepejal kepada satu sistem pengurusan pelupusan berteknologi tinggi, berikutan meningkatnya kadar pembuangan sampah.

Berita Harian X