Isnin, 18 March 2019 | 11:01am
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Selaras undang-undang data peribadi dengan teknologi baharu

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyelaras Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 bagi memastikan ia sejajar dengan perkembangan teknologi baharu, khususnya perkembangan ekonomi digital pada masa ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata perkara itu penting dalam dunia pendigitalan khususnya bagi pertumbuhan ekonomi yang menggunakan platform internet.

Katanya Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Kesatuan Eropah (EU) yang diperkenalkan sejak tahun lalu mempunyai banyak peruntukan undang-undang baharu yang boleh diguna pakai bagi perlindungan data.

“Kita mempunyai undang-undang PDPA namun ia perlu diperbaharui supaya ia kekal relevan dalam pembangunan digital.

“Dunia hari ini ramai yang menggunakan platform digital untuk memperluaskan perniagaan dan ia merangkumi perkongsian data.

“Justeru, masyarakat memerlukan undang-undang yang mempunyai keupayaan untuk melindungi pelbagai data.

“Selain itu, GDPR EU terkini mempunyai peruntukkan undang-undang yang mampu mengenakan hukuman berat terhadap perbuatan tidak mematuhi undang-undang,” katanya selepas merasmikan Persidangan GDPR EU, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak dan Pengarah GRM Training Sdn Bhd, K Pathma.

Sementara itu, Gobind juga berkata negara akan mengikut jejak langkah EU dalam melindungi data dan maklumat dengan tambah baik undang-undang sedia ada.

“Saya mengalu-alukan perbincangan terbuka seperti ini kerana ia cukup signifikan dalam usaha menggubal undang-undang baharu.

GDPR adalah rangka kerja baharu bagi undang-undang perlindungan data terpakai bagi semua syarikat yang menawarkan barangan atau perkhidmatan kepada pengguna di EU atau kawasan ekonomi Eropah.

Ia merangkumi syarikat dari Malaysia yang mempunyai hubungan atau urusan perniagaan dengan negara Eropah.

Berita Harian X