Selasa, 19 March 2019 | 2:37pm
Ahli Parlimen Tahjung Karang, Tan Sri Noh Omar ketika sidang media selepas diperintah keluar oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming selama tiga hari pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto Eizairi Shamsudin
Ahli Parlimen Tahjung Karang, Tan Sri Noh Omar ketika sidang media selepas diperintah keluar oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming selama tiga hari pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto Eizairi Shamsudin

Noh langgar perintah Speaker, cetus kecoh

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat kecoh kira-kira 10 minit sebelum rehat tengah hari, apabila Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang diperintah keluar Dewan selama tiga hari mulai hari ini, mengambil tempatnya.

Noh bertindak demikian ketika Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Abdul Rashid Hasnon, mencelah bagi mengumumkan kehadiran delegasi sembilan perwakilan Parlimen Singapura diketuai Speakernya, Tan Chuan-Jin, yang mengikuti persidangan.

Menyedari kehadiran Noh di Dewan, Abdul Rashid membacakan semula pemasyhuran Speaker Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua, Nga Kor Ming, yang memerintahkan Noh keluar Dewan.

Bagaimanapun, belum sempat Abdul Rashid habis membaca pemasyhuran berkenaan, Noh berdiri dan mempersoalkan keputusan Kor Ming itu dibuat tanpa kehadiran beliau.

“Bolehkah hukuman dijatuhkan tanpa kehadiran saya? Ini kes semalam, sepatutnya semalam putuskan untuk digantung.

“Ini dasar apa? Ini tindakan (keputusan perintah keluar Dewan) yang memalukan Dewan. Saya boleh terima hukuman tetapi kena adil,” katanya.

Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) bangun dan mengingatkan Noh supaya menjaga adab dan menghormati Dewan di hadapan delegasi Parlimen Singapura, disusuli Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang menegaskan keputusan Speaker perlu dipatuhi.

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berdiri dan merujuk kepada Peraturan 99 Dewan Rakyat yang menyatakan apa juga keputusan dibuat Speaker adalah muktamad dan memohon Abdul Rashid mengarahkan Noh keluar.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) berdiri dan menyatakan Ahli Parlimen Gelang Patah (kini Iskandar Puteri) (Lim Kit Siang) enggan keluar Dewan Rakyat pada Mac tahun lalu walaupun digantung enam bulan daripada menghadiri persidangan oleh Speaker ketika itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Noh kemudian berdiri dan mendakwa keputusan dibuat Speaker tidak menghormati undang-undang kerana menjatuhkan hukuman sebelum beliau dapat membela diri, selain wujud konflik kepentingan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) turut mencelah meminta Noh menghormati tetamu dari luar negara yang berada di dalam Dewan.

Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, bangun lalu menegaskan sudah wujud duluan (precedent) kes sama ketika Iskandar Puteri kekal di Dewan walaupun digantung.

Dengan masa berbaki kira-kira dua minit, Abdul Rashid memutuskan untuk membenarkan Noh kekal di dalam Dewan sehingga waktu rehat jam 1 tengah hari.

Ketetapan itu membuatkan beberapa penyokong kerajaan tidak berpuas hati lalu bangun membantah dan berlaku pertikaman lidah dengan ahli pembangkang.

Ia dihangatkan dengan tindakan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang mengeluarkan perkataan kesat ke arah penyokong kerajaan, membuatkan Rayer bingkas bangun meminta istilah itu ditarik balik.

Hingar-bingar itu berakhir apabila Abdul Rashid menangguh persidangan untuk rehat pada jam 1 tengah hari.

Pagi tadi, Noh diperintah keluar Dewan Rakyat selama tiga hari sehingga Khamis ini kerana menuduh Kor Ming tidak layak mempengerusikan majlis mesyuarat, ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja, semalam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X