Selasa, 19 March 2019 | 11:37pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun hadir pada Majlis Interaksi bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung hari ini. - Foto BERNAMA

Geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung disalur tanpa prasangka politik

SEBERANG JAYA: Geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan disalur secara profesional tanpa prasangka politik.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata kementerian mempunyai mekanisme yang telus untuk mengendalikan permohonan Geran MPKK, terutama dari aspek penilaian.

“Permohonan geran ini akan diputuskan melalui jawatankuasa khas yang dianggotai pelbagai pihak, termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Pembangunan Negeri dan agensi berkaitan.

“Saya berharap tiada pihak membuat tanggapan yang negatif terhadap kesetiaan dan keupayaan agensi-agensi di bawah kementerian, terutama yang menguruskan geran ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Interaksi Bersama MPKK Pulau Pinang dan Perlis di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Program itu dihadiri kira-kira 1,498 ahli MPKK yang baru dilantik di kedua-dua negeri berkenaan bagi mengikuti kursus MPKK 2019 yang dijalankan selama dua hari.

Sementara itu, Rina berkata, pembangunan luar bandar memerlukan fasa pembaharuan sejajar perkembangan teknologi semasa dan kemajuan industri.

Oleh itu, katanya, institusi kepemimpinan akar umbi berkenaan diberi penambahbaikan dan nafas baharu yang dikenali sebagai MPKK.

“Bagi menggalas hala tuju baharu ini, kepemimpinan kampung perlu meningkatkan kualiti diri termasuk menguasai pelbagai kemahiran dan pengetahuan terutama dalam urus tadbir desa yang lebih profesional,” katanya.

Pada Jun lalu, kerajaan memperkenalkan MPKK yang dijenamakan semula bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Kabinet juga bersetuju kadar elaun bulanan bagi anggota MPKK ditetapkan sebanyak RM500 bagi pengerusi, RM300 (setiausaha), RM100 bagi pengurusan mesyuarat dan RM50 bagi kehadiran mesyuarat.

Berita Harian X