Rabu, 20 March 2019 | 11:49am
MD Anizam Abd Rahman

Kelantan benarkan Mak Yong kalau patuhi syariah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

[email protected]

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan tidak menghalang persembahan tarian tradisional Mak Yong dilakukan sekiranya mematuhi syariah ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Md Anizam Abd Rahman, berkata kerajaan negeri mempunyai enakmen hiburan patuh syariah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemahang, bagaimanapun berkata, kerajaan negeri mempunyai barisan penilaian terdiri daripada ulama dan mufti bagi menilai tarian berkenaan sama ada patuh syariah atau sebaliknya.

“Jika mematuhi syariah, kita tidak mempunyai halangan namun jika gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, ia tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, persembahan tradisional Wayang Kulit sudah lama kita benarkan. Bagaimanapun penceritaannya perlu difahami mengikut syarat ditetapkan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Mohd SyahbuddinHashim (BN- Galas) yang bertanyakan pendirian kerajaan negeri terhadap gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu tarian Mak Yong dan Wayang Kulit dibenarkan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelapor PBB, Karima Bennounce menggesa Kelantan untuk membatalkan larangan ke atas Mak Yong, wayang kulit dan lain-lain bentuk persembahan tradisional Melayu.

Katanya, Malaysia terkenal dengan persembahan dan amalan tradisional yang luar biasa dan amat memalukan jika budaya itu diharamkan di negeri asal ia dilahirkan.

“Budaya yang kaya tradisi ini seharusnya diraikan dan dihargai kerana ia satu daripada seni persembahan tertua di dunia. Justeru saya berharap larangan itu akan diangkat secepat mungkin,” katanya.

Berita Harian X