Rabu, 20 March 2019 | 12:29pm
Kerajaan menanggung hutang RM130 bilion jika projek ECRL diteruskan. - Arkib NSTP

Hutang RM130 bilion jika ECRL diteruskan - PM

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menanggung hutang RM130 bilion jika projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan hutang itu mesti dilunaskan dalam tempoh 30 tahun.

Perdana Menteri berkata, ia membabitkan pinjaman berjumlah RM60 bilion dan kadar faedah tertentu yang menyebabkan projek diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bakal mencecah lebih RM100 bilion.

“Jika diteruskan, kita perlu meminjam sehingga RM60 bilion. Bayaran semula pinjaman itu disertakan faedah selama 30 tahun.

“Dalam tempoh 30 tahun, jumlah pinjaman dicampur faedah akan mencecah lebih RM100 bilion dan ada yang menganggarkan ia sekitar RM130 bilion, menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggung kos projek ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, sebentar tadi.

Diminta mengulas perincian semula skala projek itu jika diteruskan, Dr Mahathir berkata, kerajaan mungkin menangguhkan perkara tertentu seperti pembinaan landasan berkembar.


Dr Mahathir menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, Parlimen. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

“Kita teliti semula projek itu dan melihat pada beberapa perkara yang tidak diperlukan, contohnya mungkin tidak perlu laksanakan trek berkembar.

“Unjuran awal kargo dan penumpang tidak begitu besar jumlahnya, maka kita boleh tangguhkan beberapa bahagian daripada projek atau perancangan sehingga ia diperlukan,” katanya.

Berita Harian X