Rabu, 20 March 2019 | 1:25pm
ANTHONY Loke
ANTHONY Loke

90,000 saman AWAS sejak 1 September 2018

KUALA LUMPUR: Kira-kira 90,000 saman menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dikeluarkan kepada pengguna jalan raya sejak 1 September tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, semua kutipan saman dengan kadar lebih rendah iaitu kira-kira 10 peratus daripada Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dilaksanakan sebelum ini, akan dimasukkan dalam dana kerajaan.

Katanya, pendekatan itu berbeza berbanding sistem AES yang kontraknya dianugerahkan kepada dua syarikat, manakala kutipan tidak dimasukkan dalam dana kerajaan.

“Sistem AES terdahulu membabitkan 4.6 juta saman dikeluarkan sebelum 31 Ogos 2018 sudah dimansuhkan secara keseluruhannya oleh kerajaan.

“Ini bermakna saman berpandukan kontrak dengan dua syarikat terdahulu dibatalkan kerana hasil kutipan bukan masuk dalam dana kerajaan, sebaliknya pergi kepada mereka.

“Saman bernilai RM600 juta semuanya dimansuhkan, namun saman baharu berkuat kuasa 1 September 2018 dengan kadar lebih rendah perlu dibayar atau berdepan tindakan mahkamah,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) mengenai jumlah saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya mengikut pecahan tertentu setakat ini.

Pada 14 Januari 2015, jemaah menteri bersetuju Lembaga Tabung Angkatan Tentera mengambil alih projek AES/AWAS daripada Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

Konsesi diuruskan LTAT berkuat kuasa dari 14 Januari 2015 hingga 31 Ogos 2018.

Pada 17 Ogos tahun lalu, kerajaan memutuskan perjanjian konsesi AES/AWAS dikendalikan LTAT ditamatkan mengikut tarikh luput kontrak, manakala pengoperasian, pembangunan, penyelenggaraan dan penguatkuasaannya dikendali sepenuhnya Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mengulas soalan asal Wan Junaidi berhubung rasional menambah pemasangan AWAS dan jumlah kamera di seluruh negara, Loke bekata, sistem itu bukan bertujuan memerangkap orang ramai, sebaliknya mendidik mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu mengikut had laju.

“Sehingga 1 Mac, sebanyak 45 kamera beroperasi iaitu 29 kamera peraturan had laju dan 16 kamera peraturan lampu isyarat.

“Semua kamera AWAS dipasang mengikut kontrak terdahulu dan kosnya ditanggung kedua-dua syarikat tanpa sebarang perincian.

“Bagaimanapun, dianggarkan kos pemasangan tidak termasuk penyelenggaraan sebuah kamera adalah antara RM200,000 hingga RM250,000 termasuk kos tanah, kabel elektrik, pembangunan infrastruktur dan kamera.

“Kita belum melaksanakan pemasangan kamera baharu menggunakan peruntukan kerajaan sepenuhnya, justeru tiada perbandingan harga dibuat sehingga kini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai kaedah lain bagi menangani kadar kemalangan, Loke berkata, kerajaan kini mempertimbangkan pendekatan alternatif menerusi penggunaan teknologi terkini.

Selain itu, katanya, langkah pemerkasaan di institut memandu giat dijalankan dengan mengkaji pelaksanaan ‘e-testing’ supaya integriti pembelajaran berupaya ditingkatkan.

“Ini penting kerana kadar kematian di negara kita amat tinggi, menjangkau kadar purata harian seramai 19 orang,” katanya.

Berita Harian X