X
Khamis, 21 March 2019 | 1:52am
MENTERI Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah. - NSTP/Asyraf Hamzah
MENTERI Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah. - NSTP/Asyraf Hamzah

Wisma Putra masih tunggu maklumat nasib Haziq

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar masih menunggu maklumat rasmi mengenai nasib remaja Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang dilaporkan hilang ketika insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah ketika dihubungi berkata, Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan selepas pihak berkuasa New Zealand membuat kenyataan rasmi berhubung perkembangan insiden itu, yang setakat ini mengorbankan 50 orang dan puluhan lagi cedera.

“Pada masa ini saya tidak akan membuat sebarang kenyataan,” katanya kepada Bernama di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan bahawa Mohd Haziq dilaporkan telah meninggal dunia.

Mohd Haziq merupakan anak kepada Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, selepas cedera ditembak dalam kejadian di Masjid Al Noor.

Seorang lagi anak Mohd Tarmizi, Mohd Haris, 12, masih menerima rawatan di hospital kanak-kanak di Christchurch akibat trauma susulan insiden itu.

Berita Harian X