Khamis, 21 March 2019 | 12:04pm

Sultan Selangor, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Muhammad Haziq

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang disahkan maut dalam serangan ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Perutusan takziah baginda berdua dimuatnaik dalam laman sosial Facebook Royal Selangor Office, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda amat dukacita dengan tragedi serangan berdarah ke atas dua masjid berkenaan yang menyebabkan seorang rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.

“Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq. Semoga keluarga Allahyarham sabar dan reda dengan dugaan ini.

“Beta mendoakan semua mangsa yang terjejas dengan tragedi ini akan kembali pulih dan sembuh seperti sediakala. Beta juga berharap tragedi seumpama ini tidak akan berulang lagi dan semoga semua umat Islam di seluruh dunia terus tabah dan bersatu hati,” titah baginda.

Wisma Putra pagi ini mengesahkan kematian Muhammad Haziq, 17, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas insiden Jumaat lalu.

Berita Harian X