Khamis, 21 March 2019 | 2:14pm
TIMBALAN Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein
TIMBALAN Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein

Galakkan pelajar guna produk biodegradasi

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) diharap dapat menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menggalakkan sekolah di negara ini menggunakan produk biodegradasi bagi menggantikan penyedut minuman dan pinggan plastik.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata institusi pendidikan adalah tempat terbaik untuk mendidik dan menerapkan rasa cintakan alam sekitar.

Katanya, usaha berkenaan mampu meningkatkan indeks kelestarian alam sekitar walupun masih banyak isu yang dihadapi oleh negara termasuklah masalah pencemaran.

“Kita perlu amal dan mulakan perkara ini di peringkat sekolah. Ia sudah diperluaskan di semua sekolah dan ia juga sudah masuk ke dalam silibus pelajaran.

“Penyedut minuman plastik di tapak pelupusan sampah menjadi isu besar, terutamanya di Malaysia.

“Walaupun penyedut minuman yang digunakan oleh kita setiap hari itu nampak kecil, namun ia mengambil masa 200 tahun untuk proses penguraian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Promosi Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar (SLAAS, sesi 2018/2019 dan Amalan Tanpa Penggunaan Plastik Sekali Guna dan Penyedut Minuman di Sekolah, di sini, hari ini.

Tambah Isnaraissah, bagi merealisasikan hasrat berkenaan JAS turut mengambil inisiatif dengan mempromosikan Kempen Amalan Tanpa Penggunaan Plastik Sekali Guna dan Penyedut Minuman Plastik Di Sekolah melalui semua platform media baharu di negara ini.

“Usaha ini mungkin kelihatan kecil tetapi akan memberi impak yang cukup besar kepada alam sekitar dan juga memupuk tanggungjawab sebagai pewaris pemacu negara pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X