Khamis, 21 March 2019 | 11:24pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi (kanan) hadir pada majlis bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Hari Polis di Masjid Bukit Aman. - NSTP/Asyraf Hamzah
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kanan) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi (kanan) hadir pada majlis bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Hari Polis di Masjid Bukit Aman. - NSTP/Asyraf Hamzah

Muhyiddin, Fuzi hadir majlis bacaan Yasin, tahlil sempena Hari Polis

KUALA LUMPUR: Hampir 500 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tahlil bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Masjid Bukit Aman, di sini, malam ini sempena Hari Polis ke-212 yang bakal disambut pada Isnin depan.

Muhyiddin yang tiba kira-kira pada jam 7 malam tadi menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum menyertai bacaan Yasin dan tahlil bersama pegawai serta anggota PDRM, diikuti solat Isyak dan makan malam.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador.

Majlis bacaan Yasin dan tahlil itu adalah sebahagian daripada acara tahunan PDRM sempena sambutan Hari Polis bagi mengingati pegawai dan anggota yang terkorban ketika bertugas.

Turut dijadual akan berlangsung, perbarisan sempena sambutan Hari Polis yang akan diadakan pada Isnin depan yang dijangka akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Majlis bacaan Yasin berkenaan dipimpin Pegawai Turus Kesejahteraan Organisasi, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Asisten Komisioner Ghazali Daud.

Antara objektif majlis adalah bagi mendoakan kesejahteraan serta mengenang jasa warga PDRM yang berkorban demi keamanan, ketenteraman dan keselamatan negara.

Berita Harian X