Jumaat, 22 March 2019 | 10:42am
Robyn Molony (kanan), 65, bersama rakannya memakai selendang ketika hadir di perkarangan Masjid Al Noor, Christchurch, NZ, hari ini. -Foto Reuters

Wanita NZ pakai selendang tanda sokongan

CHRISTCHURCH: Wanita New Zealand memakai selendang hari ini sebagai tanda sokongan kepada penduduk Islam seminggu selepas 50 orang dibunuh dalam dua masjid bandar ini minggu lalu.

Seorang doktor di Auckland, Thaya Ashman, muncul dengan idea menggalakkan wanita memakai selendang selepas mendengar seorang wanita terlalu takut untuk keluar kerana merasakan tudung kepala menjadikannya sasaran keganasan.

“Saya mahu mengatakan: ‘Kami bersama anda, kami mahu anda merasa di negara sendiri, kami menyayangi, menyokong dan menghormati anda,” kata Thaya.

Ketika penduduk bersiap sedia bersolat di sebuah taman di hadapan Masjid Al Noor, di mana mangsa dibunuh pengganas Australia, Brenton Tarrant, minggu lalu, wanita di Auckland, Wellington dan di sini menghantar gambar mereka memakai selendang, sesetengah kanak-kanak turut memakainya.

“Mengapa saya memakai selendang hari ini? Alasan utama saya ialah jika sesiapa muncul sambil menghalakan senapang, saya mahu berdiri di antara penyerang dan sesiapa yang ditujukannya.

“Saya mahu mereka tidak dapat membezakan, kerana tiada perbezaan,” kata Bell Sibly di sini.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dipuji minggu lalu kerana memakai selendang hitam ketika bertemu penduduk Islam susulan insiden tembakan.

Seorang pegawai polis wanita berkawal di kawasan perkuburan di sini, di mana mangsa tembakan dikebumikan semalam, sambil memakai selendang dan senjata automatik di tangan.

Rachel MacGregor, yang menyertai kempen Head Scarf for Harmony berkata, beliau merasa ragu-ragu keluar memakai selendang dan diperhatikan ketika memasuki bangunan pejabat.

“Ia memberi saya menghargai perasaan sebagai minoriti dan memakai pakaian yang biasanya tidak dipakai golongan majoriti,” katanya di Auckland. -Reuters

Berita Harian X