Sabtu, 23 March 2019 | 12:07am
TUANKU Mukhriz Tuanku Munawir berkenan menyampaikan hadiah kepada peserta dari Selangor, Abdul Khair Jalil pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Qari Selangor, qariah Negeri Sembilan muncul johan tilawah al-Quran

SEREMBAN: Qari dari Selangor, Abdul Khair Jalil dan qariah dari Negeri Sembilan, Nor Farhatul Fairuzah Panut masing-masing dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440H/ 2019M yang diumumkan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, malam ini.

Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil yang disampaikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir.

Bagi tilawah lelaki, naib johan disandang qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang menerima RM10,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji manakala tempat ketiga dimenangi qari dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Fakhrul Razi Wan Mohammad yang memperoleh RM7,500 dan juga tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji.


PESERTA dari Negeri Sembilan, Nor Farhatul Fairuzah Panut (tengah), yang diumumkan sebagai johan qariah pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Dalam tilawah wanita, qariah dari Selangor, Nor Faizah Panut meraih tempat kedua dan tempat ketiga disandang Awatif Abdul Majid dari Pulau Pinang yang turut menerima hadiah sama. Untuk setiap peserta lain, mereka menerima saguhati RM3,000, cenderahati dan sijil.

Dalam majlis hafazan dari juzuk 1 hingga 10, qari dari Selangor, Muhammad Al Nawawi Borhan dinobatkan sebagai johan diikuti Muhammad Amnan Muhammad Sani (Melaka) di tempat kedua dan Muhammad Ziyad Mohd Husni (Johor) di tempat ketiga.

Untuk peserta wanita pula, qariah dari Selangor, Umni Nadjah Abd Samad diumumkan pemenang diikuti Masyithah Mohd Farid (Melaka) di tempat kedua dan Nurul Izzah Mukhali (Sarawak) di tempat ketiga.

Johan menerima RM5,000 dan piala, RM4,000 untuk naib johan, RM2,000 tempat ketiga dan RM1,000 untuk penerima saguhati.

Majlis hafazan bagi kategori juzuk 1 hingga 20 menyaksikan Ahmad Luqman Ismail, juga dari Selangor dan qariah Perak, Adibah Husni Ahmad Rozaidi dinobatkan johan yang menerima RM7,000 dan tambahan RM7,000 untuk menunaikan umrah.

Bagi kategori terakhir iaitu hafazan juzuk 1 hingga 30, johan masing-masing menjadi milik qari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail dan qariah Kedah, Raudah Abdul Razak yang menerima RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji dan akaun Al-Awfar berjumlah RM20,000 sumbangan Bank Islam.

Habuan berganda diraih pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi keempat-empat kategori apabila kerajaan Negeri Sembilan menyumbangkan simpanan emas bernilai RM1,400.

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Mac lalu dan berlangsung enam hari dengan penyertaan 112 peserta tilawah dan hafazan yang mewakili 14 negeri.

Semua mereka diadili 16 hakim tilawah dan 17 hakim hafazan dengan johan setiap kategori akan mewakili negara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 15 hingga 20 April depan.

Majlis penutup turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyampaikan hadiah.

Berita Harian X