Sabtu, 23 March 2019 | 8:13am
PESERTA Himpunan Solidariti Kedamaian mula tiba di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
PESERTA Himpunan Solidariti Kedamaian mula tiba di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Peserta solidariti kedamaian mula berkumpul

KUALA LUMPUR: Peserta Perhimpunan Solidariti Kedamaian mula berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini pagi ini.

Rata-rata peserta yang berpakaian putih mula membanjiri kawasan ini sejak jam 6.40 pagi untuk menyertai perhimpunan itu sebagai tanda menyuarakan kedamaian dan menolak kebencian.

Perhimpunan aman itu susulan tragedi berdarah serangan pengganas di dua masjid berasingan di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lepas.

Pemerhatian BERNAMA mendapati ratusan peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum, malah ada yang membawa keluarga masing-masing, selain membawa kain rentang #Solidarity4Peace.

Perhimpunan juga disertai beberapa ketua-ketua agama serta anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan persatuan agama.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan P. Waytha Moorthy tiba di pekarangan Sogo, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan P. Waytha Moorthy tiba di pekarangan Sogo, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Turut kelihatan pemimpin-pemimpin tempatan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Senator P. Waytha Moorthy, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Duta Turki ke Malaysia Merve Kavakçi.

Peserta perhimpunan itu dijadualkan bermula berarak dari kawasan itu ke Dataran Merdeka jam 7.40 pagi ini. - BERNAMA

Berita Harian X